ISA (kiri)  menerima cenderahati daripada   Mohd Rofik  selepas merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan.
ISA (kiri) menerima cenderahati daripada Mohd Rofik selepas merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan memperkenalkan sistem sewa beli kepada pembeli rumah kalangan generasi kedua bagi memudahkan mereka memiliki rumah yang dibina di tanah rancangan itu.

Pengerusinya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, langkah itu dibuat berikutan kebanyakan anak peneroka yang ingin membeli rumah berkenaan tidak mempunyai bukti pendapatan, sekali gus menyukarkan pihak institusi kewangan meluluskan pembiayaan pinjaman.

Katanya, melalui sistem sewa beli itu peluang untuk memiliki rumah berkenaan lebih cerah selepas mereka membuat pembayaran kepada FELDA mengikut tempoh tertentu dan kemampuan sebelum melangsaikan pembiayaan sepenuhnya.

“Kita sudah putuskan mengadakan sistem sewa beli ini kerana sebahagian anak peneroka tiada bukti pendapatan menyukarkan pihak bank meluluskan pinjaman dan sistem ini kita selaraskan termasuk mereka yang memiliki bukti pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan Kali Ke-13 2015 di Hotel One Senawang di Senawang, dekat sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan, Mohd Rofik Mohd Yusuff.

Mengenai projek membina rumah berkenaan, Mohd Isa berkata, setakat ini pembinaan jenis rumah teres yang menggunakan sistem teknologi Sistem Bangunan Berindustri (IBS) itu berjalan lancar dan lebih 1,000 unit rumah sudah siap terutama di Paloh yang menjadi projek perintis.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, pihaknya sudah menetapkan sasaran untuk menyiapkan kira-kira 20,000 unit rumah generasi kedua FELDA menjelang 2020.

Mohd Isa bagaimanapun berkata, kadar harga rumah berkenaan masih belum ditetapkan kerana ia berbeza antara satu sama lain bergantung kepada lokasi dan infrastruktur yang disediakan, namun dijangka tidak lebih RM200,000 seunit.

“Apabila siap sepenuhnya kelak, kita akan putuskan harga rumah berkenaan dan menyenaraikan nama pembeli yang layak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 7:01 AM