Nur Aishah menunjukkan keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2020 yang diumumkan secara dalam talian kepada ibu dan bapanya. FOTO HAMZAH OSMAN
Nur Aishah menunjukkan keputusan 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2020 yang diumumkan secara dalam talian kepada ibu dan bapanya. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman / 10jun21


Langkawi: Berpuasa sunat pada Isnin dan Khamis, menjadi amalan Nur Aishah Zakaria yang memperoleh 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Malah, Nur Aishah, 18, anak kepada pemandu lori itu berkata, amalan kerohanian lain termasuk memperbanyakkan solat sunat juga antara rahsia kejayaannya.

Pelajar Maktab Mahmud Langkawi itu tidak menyangka akan memperoleh 6A+ dan 5A dalam SPM 2020 yang diumumkan secara dalam talian, hari ini.

"Pelbagai cabaran saya dan rakan hadapi termasuk penutupan sekolah dan Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) akibat Covid-19.

"Terkejut, tapi kejayaan ini amat mengembirakan selepas kuat berusaha," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Nibung di sini, hari ini.

Nur Aishah berkata, sepanjang peperiksaan SPM tahun lalu dia dan rakan-rakan diwajibkan oleh pihak sekolah supaya tinggal di asrama.

"Tinggal di asrama juga menjadi cabaran kerana ia menjadi budaya baharu bagi saya yang tidak pernah tinggal di asrama sepanjang persekolahan.

"Setiap hari saya membuat panggilan video dengan ibu dan ayah untuk dapatkan kata-kata semangat, terutama sebelum masuk dewan peperiksaan," katanya.

Anak kedua daripada tujuh beradik itu berkata, dia berminat untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam dan mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

"Cita-cita menjadi pensyarah, dan sebelum itu saya mahu belajar hingga ke peringkat Doktor Falsafah dan memastikan di hadapan nama ada gelaran 'Dr'.

"Insya-Allah dengan usaha yang kuat, diiringi doa daripada ibu dan ayah, kejayaan boleh dicapai walaupun berhadapan pelbagai cabaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 2:21 PM