Mohd. Danish Iskandar Amran, menunjukkan sijil yang diterima apabila tersenarai pelajar cemerlang dengan keputusan 9A+, 2A ketika pengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 peringkat negeri Sabah di Dewan Sekolah Menengah Lok Yuk, Likas. FOTO Khairull Azry Bidin
Mohd. Danish Iskandar Amran, menunjukkan sijil yang diterima apabila tersenarai pelajar cemerlang dengan keputusan 9A+, 2A ketika pengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 peringkat negeri Sabah di Dewan Sekolah Menengah Lok Yuk, Likas. FOTO Khairull Azry Bidin
Wan Faizal Ismayatim


“SAYA berpegang pesan ibu, fokus pada pelajaran di sekolah dan jangan bercinta, belajar dulu rajin-rajin,” kata pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd. Danish Iskandar Amran.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kota Kinabalu itu memperoleh 9A+ dan 2A dalam SPM 2018 yang diumumkan Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin di Kota Kinabalu, hari ini.

Mohd. Danish berkata, untuk berjaya dalam pelajaran, dia sentiasa mendengar nasihat ibu bapanya, Asmahwati Mohamad Kassim 46, dan Amran Muhd Zamzam, 48, yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Tandek dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2, Kota Marudu.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia tidak memperuntukkan tempoh masa tertentu untuk mengulang kaji pelajaran setiap hari, sebaliknya sentiasa fokus dalam kelas.

“Mesti fokus setiap masa di dalam kelas dan mendengar apa yang diajar oleh guru... jangan tidur. Kalau kita fokus, kita mudah faham apa yang diajar guru.

“Selain itu, saya buang perasaan malu apabila sering ke bilik guru untuk berjumpa guru dan bertanyakan soalan serta minta diterangkan apa yang tidak faham,” katanya yang bercita-cita menjadi jurutera.

Mohd. Danish yang berasal dari Kota Marudu turut aktif dalam program inovasi di sekolah apabila menyertai pertandingan Olimpiad Sains dan Matematik Peringkat dan Pertandingan Robotik Antarabangsa di Putrajaya, tahun lalu.

Walaupun sibuk dengan aktiviti berkenaan, dia mengakui tetap mencari masa untuk mengulang kaji pelajaran.

Sementara itu, pelajar SMK St Patrick, Tawau, Carolina Lee Pei Qian yang memperoleh 10A+ berkata, dia sentiasa membuat latihan serta mengkaji soalan peperiksaan lalu.

“Saya banyak mengkaji soalan SPM yang lalu supaya sentiasa faham bentuk soalan, selain rajin bertanya kepada guru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 2:19 PM