Muhyiddin   menyampaikan baucar Buku 1Malaysia kepada Muhamad Anas   pada Majlis Ramah Mesra  TPM Bersama Pemimpin Mahasiswa, semalam.
Muhyiddin menyampaikan baucar Buku 1Malaysia kepada Muhamad Anas pada Majlis Ramah Mesra TPM Bersama Pemimpin Mahasiswa, semalam.
Oleh Nazarali Saeril

Serdang: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan membawa tiga usul membabitkan potongan harga 10 hingga 20 peratus bagi tambang bas untuk mahasiswa, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Baucar Buku 1Malaysia ke Kabinet untuk dipertimbangkan.

“Saya akan bawa usul ini ke Kabinet untuk dipertimbangkan. Bagi potongan harga tambang bas, saya perlu merujuknya kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kerana ia berada di bawah bidang kuasa agensi berkenaan.

“SPAD mungkin boleh berhubung dengan pengusaha bas untuk mendapatkan potongan harga bagi mahasiswa. Ia boleh mengurangkan beban mahasiswa untuk pulang menjenguk keluarga ketika cuti,” katanya, semalam.

Muhyiddin berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Pemimpin Mahasiswa di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pendidikan II Mary Yap Kain Ching; Timbalan Menteri Pendidikan II P Kamalanathan dan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Muhyiddin berkata demikian sebagai membalas tiga usul berkenaan dibuat Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan Sesi 2014/2015 Muhamad Anas Misbahudin pada ucapan alu-aluannya sebelum itu.

Menurut Muhyiddin, berkaitan PTPTN, beliau perlu mendapatkan maklumat lanjut tentang apa diperlukan mahasiswa.

“Saya perlu tahu apa yang dimahukan, sama ada jumlah pinjaman, kadar faedah, bayaran bulanan dan lain-lain yang berkaitan dengan pinjaman PTPTN.

“Jika semuanya sudah diperoleh, barulah ia akan dibincangkan. Ketika ini juga, PTPTN sudah melakukan banyak perkara untuk membantu peminjam,” katanya.

Berkaitan Baucar Buku 1Malaysia, Muhyiddin memaklumkan kerajaan akan menaikkan jumlah bayarannya pada masa depan.

Menurut Muhyiddin, jika ada kenaikan, ia mungkin boleh digunakan untuk membeli peralatan bantuan pembelajaran lain.

“Saya rasa tiada masalah untuk kita naikkan jumlah bayaran namun ia bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan.

“Perkara ini memang kita lakukan sejak dulu lagi, jika ada kemampuan kewangan maka kita akan beri. Ini semua demi kepentingan pendidikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 8:34 AM