MUHYIDDIN beramah mesra bersama penerima Biasiswa Nasional 2015 selepas merasmikan Majlis Penyampaian Surat Tawaran Biasiswa Nasional 2015 di INTAN Bukit Kiara.
MUHYIDDIN beramah mesra bersama penerima Biasiswa Nasional 2015 selepas merasmikan Majlis Penyampaian Surat Tawaran Biasiswa Nasional 2015 di INTAN Bukit Kiara.
Oleh Nazarali Saeril

Kuala Lumpur: Seramai 151 pelajar cemerlang sedang melanjutkan pengajian di pelbagai universiti terkemuka dunia seperti University of Oxford, United Kingdom (UK) serta tempatan seperti Universiti Malaya (UM) di bawah program Biasiswa Nasional sejak program biasiswa ini diperkenalkan pada 2009.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengenalan biasiswa berkenaan membolehkan pelajar cemerlang terpilih ditaja pengajian daripada peringkat persediaan sehinggalah ke peringkat ijazah pertama dalam bidang masing-masing.

“Bagi meningkatkan kecekapan pasaran buruh domestik, kerajaan melalui agensinya melakukan pelbagai inisiatif seperti menaja pelajar cemerlang melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi dengan objektif menghasilkan tenaga mahir yang sesuai dengan keperluan semasa negara.

“Melalui program biasiswa ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menaja pelajar berkenaan dengan mengambil kira keperluan semasa negara untuk memperkasakan antaranya bidang pengajian sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM),” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian surat tawaran Biasiswa Nasional 2015 kepada 50 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia Tan Sri Dr Madinah Mohamad; dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof.

Bidang pengajian lain yang turut diperkasakan ialah pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT), keselamatan serta sains data.

Menurut Muhyiddin, beliau berharap kumpulan pelajar terbaik ini dapat menceburi bidang seperti STEM seterusnya menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negara.

“Kerajaan juga memperkenalkan inisiatif ‘Management Apprentice Programme’ (MAP) bagi memastikan bakat terbaik ini diterima dalam pasaran kerja. Melalui program ini, 42 syarikat memberi latihan pembangunan selama tiga bulan kepada graduan tajaan JPA ini untuk mengikuti bidang bersesuaian.

“Graduan yang sudah digilap ini kemudiannya ditempatkan di dalam perkhidmatan awam melalui insiatif JPA dan Razak School of Government (RSOG). Program ini dikenali sebagai ‘Talent Acceleration in Public Service’ (TAPS),” katanya.

Menurut Muhyiddin, program TAPS mendedahkan graduan kepada dasar awam negara selain memberi peluang kepada mereka untuk memulakan kerjaya di kementerian atau agensi di bawah kementerian.

Kata beliau, ia inisiatif kerajaan untuk melahirkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi, inklusif dan berjiwa rakyat. Sehingga kini, 145 graduan berjaya mengikuti program TAPS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 9:50 AM