PENGERUSI Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan Sesi 2014/2015, Muhammad Anas Misbahudin berucap pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Pemimpin Mahasiswa. FOTO Nazarali Saeril
PENGERUSI Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan Sesi 2014/2015, Muhammad Anas Misbahudin berucap pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Pemimpin Mahasiswa. FOTO Nazarali Saeril
Oleh Nazarali Saeril


Serdang: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan mempertimbangkan tiga cadangan diutarakan untuk kepentingan mahasiswa iaitu potongan harga bagi tambang bas, pinjaman perbadanan tabung pengajian tinggi negara (PTPTN) dan kenaikan jumlah bayaran bantuan Baucar Buku 1Malaysia.

Muhyiddin berkata, ia akan dibincangkan di peringkat tertinggi dalam masa terdekat dan berkemungkin besar, tiada masalah untuk semua cadangan berkenaan diluluskan.

Menurut beliau, bagi potongan harga untuk tambang bas, pihaknya perlu berbincang dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kerana ia berada di bawah seliaan agensi berkenaan.

Muhyiddin berkata, bagi PTPTN pula, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut sama ada ia berkaitan jumlah dana pinjaman, jumlah bayaran, faedah dan lain-lain yang berkaitan dengannya sebelum keputusan dibuat.

Bagi Baucar Buku 1Malaysia pula, Muhyiddin mengatakan ia tiada masalah untuk dinaikkan pada masa depan namun bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan.

Muhyiddin berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Pemimpin Mahasiswa di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 6:18 PM