Yahya menyampaikan bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir. FOTO Ismail Muhamad
Yahya menyampaikan bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir. FOTO Ismail Muhamad
Ismail Muhamad


Kota Bharu: Seramai 190 mangsa banjir di jajahan bandar ini menerima wang ehsan bantuan bencana daripada Kerajaan Pusat berjumlah keseluruhan RM95,000 hari ini.

Bantuan bagi fasa pertama itu diuruskan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan membabitkan mangsa banjir di Kampung Tiong, Mulong, Ketereh, Melor dan Pantai Cahaya Bulan (PCB).

Majlis penyerahan bantuan ehsan mangsa banjir itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Yahya Mamat di pejabat APM Kota Bharu, Jalan Bayam dekat sini.

Turut hadir, Pengarah Perancangan Dasar dan Penyelarasan APM Norhafifi Ismail dan Pengarah APM Kelantan Zainuddin Hussin.

Yahya berkata, agihan bantuan wang ehsan sebanyak RM500 setiap keluarga yang terjejas dengan bencana banjir berkenaan pada awal Januari lalu.

“Bantuan ini adalah tanda keprihatinan Kerajaan Pusat bagi membantu mangsa banjir yang terjejas selain mengalami kerugian harta benda dalam bencana berkenaan

“Saya difahamkan penyerahan bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir ini dilakukan secara berperingkat dengan fasa pertama dilaksanakan di jajahan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 5:39 PM