Faudzi (empat dari kiri) bersalaman dengan Makhtar tapa (tiga dari kanan) selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri Kelantan dan dihadiri oleh 50 wakil jabatan serta jajahan di Kota Darulnaim. FOTO MUHAMMAD SUFIAN ROSLI
Faudzi (empat dari kiri) bersalaman dengan Makhtar tapa (tiga dari kanan) selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri Kelantan dan dihadiri oleh 50 wakil jabatan serta jajahan di Kota Darulnaim. FOTO MUHAMMAD SUFIAN ROSLI
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Sejumlah RM800,000 diperuntukkan sebagai persediaan awal menghadapi banjir di Kelantan tahun ini, untuk keperluan bekalan makanan serta barangan asas di pusat pemindahan sementara.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat berkata, daripada jumlah itu, Kerajaan Persekutuan menyediakan RM500,000, manakala kerajaan negeri pula sebanyak RM300,000.

Katanya, kira-kira 5,000 kakitangan di semua Jabatan Persekutuan dan Negeri akan terbabit untuk membantu mangsa banjir serta cuti mereka turut dibekukan bermula Disember.

"Lokasi yang diberi tumpuan adalah Kuala Krai dan Gua Musang kerana dalam tragedi banjir dua tahun lalu, daerah ini yang paling teruk terjejas.

"Penduduk akan sentiasa dimaklumkan melalui media dan juga menerusi Jawantankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)

"Saya yakin mereka sudah sudah bersedia sebagaimana pengalaman sebelum ini kerana fenomena banjir sudah tidak asing lagi di negeri ini," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Kelantan 2016 di Bilik Gerakan Kompleks Darul Naim, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapa dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Mohammad Hanafi Maulud.

Mesyuarat diadakan sebagai persediaan terakhir bagi memastikan kesiapsiagaan semua agensi yang terbabit jika berlaku banjir dan turut mendengar taklimat yang disampaikan Jabatan Meterologi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan juga JKM.

Mengulas lanjut, Mohd Faudzi berkata, bagi menangani masalah komunikasi yang ketara ketika banjir, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah mempertingkatkan infra dengan pencawang ditinggikan untuk menggelak daripada ditenggelami air.

“Dalam masa sama, kita juga menyediakan generator dan juga meminta bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk mendapatkan alat bantuan komunikasi sekiranya berlaku banjir besar.

"Dengan penggunaan alat ini, kita masih dapat berhubung dengan pusat-pusat operasi banjir di peringkat jajahan serta daerah," katanya.

Sementara itu, Mohammad Hanafi berkata, sebanyak 737 pusat pemindahan banjir dibuka di seluruh negeri yang dapat menampung seramai 215,955 mangsa banjir.

"Kami juga sudah menghantar bekalan makanan dan peralatan di 221 pangkalan hadapan dan juga di 17 depoh mini," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan semua kakitangan dan sukarelawan yang terbabit dengan persediaan banjir lebih bersedia menghadapi situasi sebenar, kami mengadakan latihan simulasi di setiap zon bermula awal November lalu.

"Selain itu, beberapa jawantankuasa khas yang terdiri daripada individu perseorangan, penghulu, penggawa dan guru besar ditubuhkan untuk membantu JKM yang hanya mempunyai 417 kakitangan serta 500 sukarelawan di pusat pemindahan banjir.

"Kita juga bersedia menerima sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu turut serta. Kita akan lihat apa yang sesuai dan agih mengikut jawatankuasa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 5:25 PM