Johor Bahru: Sekumpulan kaki judi yang menjadikan sebuah rumah kongsi sebuah tapak pembinaan di Kempas di sini, sebagai markas aktiviti perjudian, turut mengupah dua wanita asing sebagai pelayan termasuk menyediakan makan dan minum.

Wanita terbabit bukan hanya menerima upah untuk menjaga kumpulan kaki judi terbabit, tetapi juga mendapat tip daripada pemenang.

Bagaimanapun, aktiviti kaki judi di rumah kongsi berkenaan terbongkar apabila sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menyerbu premis terbabit, pagi semalam.

Seramai 13 kaki judi termasuk dua wanita ditahan dalam serbuan yang diketuai Pegawai Turus D7 IPK Johor Deputi Superintendan Azli Abu Shah kira-kira jam 1.30 pagi berkenaan.

Ketika serbuan, semua kaki judi terbabit didapati sedang asyik bermain judi jenis ‘See No Lak’ di dalam rumah kongsi itu.

Azli berkata, serbuan berkenaan dibuat hasil daripada maklumat orang ramai dan juga risikan pihaknya.

Menurutnya, kaki judi yang ditahan itu terdiri daripada empat warga Indonesia dan masing-masing seorang dari Bangladesh dan Vietnam, manakala selebihnya orang tempatan.

“Siasatan kami mendapat premis berkenaan memang menjadi tumpuan kaki judi, tetapi masih menyiasat sudah berapa lama mereka beroperasi di situ.

“Selain menahan kaki judi itu, kami turut merampas pelbagai peralatan judi dan juga wang tunai RM5,585,” katanya.

Menurutnya, semua kaki judi yang berusia antara 18 hingga 40 tahun kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara untuk siasatan mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 .

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:20 AM