GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

New Delhi: Seorang wanita warga emas menjadi mangsa rogol berkumpulan dalam kejadian di Singrauli, Madhya Pradesh, Bhopal, pada Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam waktu tempatan itu, mangsa berusia 65 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah dari kediaman ahli keluarganya.

Menurut portal Mirrow Now, mangsa dipercayai dirogol lima lelaki secara bergilir-gilir sebelum melarikan diri.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Morwa berhubung kejadian itu sebelum polis bertindak menahan lima suspek pada Isnin lalu.

Siasatan awal dilakukan mendapati empat daripada lima suspek berkenaan adalah remaja bawah umur, manakala suspek kelima berusia 24 tahun.

Sementara itu, India Today melaporkan pihak polis percaya semua suspek berkenaan di bawah pengaruh dadah ketika kejadian.

Jurucakap polis Jayant, Abhimanyu Divedi berkata, kejadian itu dipercayai berlaku berhampiran landasan kereta api yang diperiksa pada Isnin lalu.

"Individu yang bekerja berhampiran lokasi kejadian ada mengesan pergerakan mencurigakan membabitkan sekumpulan remaja selepas kami menahan dua remaja bawah umur.

"Dua remaja bawah umur itu berjaya dikenal pasti oleh mangsa dan mereka mendedahkan identiti tiga lagi suspek dalam kejadian itu.

"Semua suspek berkenaan tinggal berhampiran lokasi kejadian dan dilihat sering merayau di sekitar kawasan landasan kereta api itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 6:01 AM