Oleh Hadzlihady Hassan


Georgetown: Wanita yang membakar lelaki warga Bangladesh hingga mangsa melecur teruk, kelmarin dikatakan geram kerana mangsa tidak membayar wang upahnya sebagai tukang cuci sejak sebulan lalu.

Wanita warga Indonesia berusia 35 tahun itu mengambil upah mencuci baju pekerja kontrak di kawasan itu, namun mangsa enggan membayar wang kepadanya sejak bulan lalu.

Suspek yang berang membawa petrol dan menunggu di depan pintu masuk ke kawasan pembinaan berkenaan sebelum mencurahkan bahan api itu ke seluruh badan mangsa dan motosikal yang dinaikinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Mazlan Kesah berkata, wanita berkenaan yang bekerja di sebuah kilang kini direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Mangsa dan suspek memang mengenali antara satu sama lain dan siasatan awal mendapati mangsa tidak membayar upah kepada wanita itu yang bekerja sebagai pencuci pakaian.

“Wanita terbabit sudah beberapa kali menghubungi mangsa untuk menuntut wang upahnya, namun lelaki berkenaan tidak mahu menjawab panggilan telefon,” katanya.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi kelmarin, lelaki berkenaan dan rakan senegaranya menunggang sebuah motosikal untuk ke tempat kerja di tapak pembinaan itu sebelum ditahan wanita terbabit yang kemudian menyimbah petrol ke arah mereka serta menyalakan api pada sehelai kain dan melempar ke arah kedua-dua lelaki itu.

Rakan mangsa yang menunggang motosikal sempat menyelamatkan diri, namun mangsa melecur hampir 80 peratus masih dalam keadaan kritikal dan dirawat di Hospital Bukit Mertajam (HBM).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 8:46 AM