KPDNHEP menegaskan tiada perubahan dasar penetapan harga jualan runcit petrol dan diesel seperti yang dilaporkan sebelum ini. FOTO Arkib NSTP
KPDNHEP menegaskan tiada perubahan dasar penetapan harga jualan runcit petrol dan diesel seperti yang dilaporkan sebelum ini. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan tiada perubahan dasar penetapan harga jualan runcit petrol dan diesel seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya memandang serius laporan media berhubung pembatalan warta di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Tiada perubahan daripada segi dasar penetapan harga jualan runcit petrol dan diesel seperti dilaporkan.

"Penetapan harga runcit petrol dan diesel adalah melalui 'Automatic Pricing Mechanism' (APM) yang dipengaruhi harga minyak yang diproses (refined products) selari dengan harga minyak mentah dunia.

"Sejak 30 Mac 2017, harga jualan runcit petrol dan diesel ditetapkan secara mingguan dan dikuatkuasakan KPDNHEP melalui warta di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, tujuan pewartaan untuk menguatkuasakan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel oleh syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak supaya tidak melebihi harga yang ditetapkan Kementerian Kewangan.

"Bagaimanapun, bermula 29 Februari lalu KPDNHEP menukar mekanisme penguatkuasaan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel melalui Surat Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Perubahan mekanisme ini bertujuan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan pemantauan di peringkat KPDNHEP sekiranya terdapat sebarang pelanggaran arahan di bawah akta yang berkuat kuasa.

"Dalam menjamin kepentingan pengguna, KPDNHEP komited memastikan pematuhan semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak terhadap harga yang ditetapkan Kementerian Kewangan," katanya.

Menurutnya, mengambil kira trend semasa harga minyak mentah dunia, Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Berita berkaitan

Tiada lagi harga siling petrol, diesel

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 8:50 PM