Kuala Lumpur: Kerajaan Malaysia sedang berunding dengan China untuk mendapatkan bantuan bilangan kapal dan aset tambahan bagi meneruskan misi pencarian pesawat MH370.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ia sebagai tambahan kepada empat kapal sedia ada yang melakukan pencarian di Lautan Hindi Selatan.

“Kita memohon dengan China supaya dapat menghantar aset dalam misi mencari ini kerana kita sudah menggunakan peruntukan yang ada menerusi kerjasama Malaysia dan Australia dan menempah tiga kapal iaitu satu daripadanya sumbangan Petronas manakala selebihnya sedang berbincang dengan China,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2015, di sini, semalam.

Empat kapal sedia ada yang melakukan misi pencarian ketika ini ialah Go Phoenix, Fugro Equator, Fugro Discovery dan Fugro Supporter.

Insiden kehilangan pesawat MH370 diisytiharkan sebagai kemalangan dan semua penumpang serta kru pesawat berkenaan disahkan terkorban.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 7:30 AM