Kuala Lumpur: Usaha mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 di Lautan Hindi dijangka disambung semula hari ini, kata Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC).

Agensi itu, yang menyelia operasi mencari berkata, kapal Fugro Discovery selesai menjalankan rutin menghantar semula bekalan dan berlepas dari pelabuhan Fremantle.

“Ia dijangka tiba di kawasan pencarian pada 2 Julai (hari ini) untuk memulakan operasi mencari,” kata agensi itu dalam satu kenyataan, semalam.

JACC berkata, sebuah lagi kapal, Fugro Equatof, juga meninggalkan pelabuhan dan tiba di kawasan carian semalam, untuk memulakan operasi pencarian.

Fugro ialah dua kapal pada masa ini ditugaskan mencari pesawat, selepas sebuah lagi kapal, Go Phoenix menghentikan operasi di laut dalam pada 20 Jun lalu, dengan kontraknya dilaporkan berakhir.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Malaysia komited meneruskan operasi mencari fasa kedua membabitkan tambahan kawasan seluas 60,000 kilometer persegi.

Sehingga kini, JACC berkata, lebih 50,000 km persegi kawasan di dasar laut diliputi dalam fasa satu operasi membabitkan 60,000 kilometer persegi.

Penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac tahun lalu ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang dan 12 kru berada dalam pesawat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 9:49 AM