Putrajaya: Semua sekolah terjejas banjir di Kelantan, Pahang dan Perak sudah dibersihkan dan proses pembelajaran serta pengajaran sudah bermula semalam.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pencapaian itu hasil komitmen semua pihak termasuk 40,000 sukarelawan terdiri daripada kakitangan dan mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta menerusi Ops Pasca Banjir yang dilancarkan 1 Januari lalu.

“Selepas 18 hari operasi membersihkan sekolah di Kelantan, kerja pembersihan semua 165 sekolah yang terjejas banjir termasuk lima sekolah terakhir selesai dilaksanakan pasukan sukarelawan termasuk lima sekolah.

“Sementara, Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi dan SK Balar yang terputus hubungan dan sukarelawan tidak boleh sampai, sudah dibersihkan guru dan masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Bagaimanapun, Idris berkata, masih terdapat sekolah yang perlu dibersihkan terutama di stor, surau, laman serta persekitaran dan dilaksanakan warga sekolah dan sukarelawan setempat.

Katanya, tumpuan awal Ops Pasca Banjir adalah membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dimulakan secepat mungkin.

Semua 67 sekolah terjejas banjir di Pahang juga selesai dibersihkan termasuk tujuh semalam dan boleh memulakan sesi persekolahan.

“Bagi sekolah di Perak, baki tujuh sekolah terjejas yang terletak di daerah Perak Tengah terjejas sudah dibersih dan boleh digunakan,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 8:14 AM