Bangi: Seorang doktor pelatih wanita cedera di muka selepas ditumbuk bertubi-tubi oleh seorang penjenayah yang cuba menyamunnya dalam kejadian di Persiaran Kemajuan, Bandar Baru Bangi, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.20 pagi itu, mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan sebelum seorang lelaki yang menunggang motosikal turut berhenti lalu cuba membuka pintu kenderaannya.

Difahamkan, ketika kejadian tingkap kenderaan mangsa dalam keadaan sedikit terbuka menyebabkan suspek bertindak cuba merampas kunci kereta mangsa.

Menurut sumber, mangsa berusia 25 tahun itu dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Cheras.

“Sebaik memberhentikan kenderaannya di lampu isyarat, suspek cuba menghulur tangannya ke dalam kereta mangsa untuk membuka pintu.

“Mangsa menghalang menyebabkan berlaku pergelutan. Suspek yang tidak berpuas hati kemudian beberapa kali menumbuk muka mangsa sehingga cermin matanya pecah dan hidungnya berdarah,” katanya.

Katanya, ketika kejadian terdapat sebuah bas di hadapan kenderaan menyebabkan kenderaannya tidak dapat bergerak.

“Mangsa bernasib baik kerana terdapat sebuah kereta di belakang kenderaannya yang melihat kejadian lalu membunyikan hon sebelum suspek melarikan diri.

“Mangsa memandu kereta pulang ke rumahnya sebelum membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi,” katanya.

Menurut sumber itu, mangsa turut menjalani ujian X-ray di Hospital Kajang bagaimanapun doktor mengesahkan kecederaan pada hidungnya tidak serius.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 7:52 AM