IBRAHIM mengibarkan bendera Malaysia sebagai simbol pelepasan misi Kembara Jalinan Kasih K1M untuk membantu membersihkan kesan kerosakan akibat banjir di pantai timur.
IBRAHIM mengibarkan bendera Malaysia sebagai simbol pelepasan misi Kembara Jalinan Kasih K1M untuk membantu membersihkan kesan kerosakan akibat banjir di pantai timur.

Putrajaya: “Sepatutnya dalam menghadapi musibah banjir, kita bersatu membantu mangsa. Jangan menyebarkan maklumat palsu serta tidak benar,” kata Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman ketika diminta mengulas mengenai sebaran berita palsu berhubung banjir menerusi media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, tindakan mereka yang tidak bertangggungjawab menyebarkan berita palsu bukan saja menimbulkan situasi tidak senang, malah disifatkan tidak menjaga sensitiviti mangsa banjir.

“Kita hendaklah sensitif dengan keadaan dihadapi mangsa banjir ini. Jangan melukakan hati mereka (mangsa) kerana di saat menghadapi musibah ini, sebaran berita palsu itu boleh menimbulkan kecemasan.

“Sepatutnya masyarakat perlu menyemak maklumat diterima sebelum dikongsikan kepada orang lain,” katanya ketika ditemui media pada majlis pelepasan Kembara Jalinan Kasih Sukarelawan Komuniti 1Malaysia (K1M) Jabatan Penerangan Pasca Banjir Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Perak di sini, semalam.

Seramai 160 sukarelawan terdiri daripada kakitangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyertai misi bantuan berkenaan dilaksanakan di negeri terbabit banjir.

Rombongan berkenaan adalah pelepasan kedua ke negeri terjejas banjir dan mereka ke sana membabitkan 26 kereta pacuan empat roda, tiga lori, satu bas dan satu van membawa sukarelawan dan bantuan keperluan kepada mangsa.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, pihak kementerian bertindak melaksanakan maklum balas segera terhadap maklumat palsu yang disebarkan bagi memastikan rakyat mengetahui perkara sebenar sekali gus tidak mudah percaya selain tidak menyebarkan berita palsu itu.

“Banyak pihak cuba menangguk di air keruh dalam keadaan banjir dihadapi sekarang ini. Kita bertindak membalas semula mesej yang disebarkan bagi memastikan rakyat dapat maklumat sebenar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 6:51 AM