Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Pekan: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berkerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan individu yang menyebarkan khabar angin berhubung kejadian banjir yang melanda negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata ini memandangkan tindakan pihak berkenaan menimbulkan kerisauan dalam kalangan penduduk yang terjejas akibat bencana itu.

Selain itu, pihaknya meminta orang ramai supaya hanya merujuk kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan laporan tepat berhubung perkembangan terkini situasi banjir.

"Saya harap sangat orang ramai tidak mudah percaya dengan khabar angin. Kita harap mereka dapatkan maklumat sah daripada pihak berwajib.

“Kita tidak mahu ada lagi pihak mengambil kesempatan menyebarkan berita palsu hingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Peramu Jaya, dekat sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 11:32 AM