Chukai: Pelaksanaan projek tebatan banjir di semua kawasan sering dilanda bencana itu akan menjadi antara keutamaan dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, perkara itu bagaimanapun akan diteliti lebih dulu berdasarkan laporan daripada jabatan berkaitan sebelum keputusan diambil.

“Tentunya projek tebatan ini menjadi keutamaan dalam RMK-11, lebih-lebih lagi apabila banyak negeri dilanda banjir tahun ini.

“Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan kerana satu projek tebatan banjir mencecah sehingga ratusan juta ringgit,” katanya di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman dekat sini, semalam.

Mengenai penyediaan siren amaran banjir yang lebih berkesan pada masa akan datang, Najib berkata, kerajaan akan meneliti dulu prosedur operasi standard (SOP) digunakan ketika ini.

“Yang unik kali ini, air naik begitu pantas dan ada di sesetengah tempat itu, dalam masa 20 ke 30 minit, air naik hingga setinggi empat kaki (lebih satu meter).

“Ini menyebabkan tempoh untuk kita melakukan apa-apa tindakan atau reaksi begitu pendek sekali. Oleh itu, saya fikir, dalam keadaan tempat di mana berlaku banjir mengejut ini, kita kena ambil tindakan untuk pemindahan lebih awal dan semua orang mesti ambil amaran ini dengan lebih serius lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, cara pihak berwajib menangani bencana banjir di daerah ini sehingga mencapai tahap ‘Gold Standard’ akan dijadikan acuan untuk dicontohi kawasan lain di negara ini yang sering berdepan musibah berkenaan.

Najib berkata, walaupun daerah ini sudah tiga tahun berturut-turut dilanda banjir teruk, kecekapan pengurusan berkaitan bencana itu ditadbir dengan begitu baik.

“Saya diberitahu daerah Kemaman berjaya memenuhi piawaian ‘Gold Standard’ iaitu satu tahap yang sangat tinggi di mana persediaan dilakukan pada peringkat pra-banjir dengan mesyuarat diadakan pada April lagi antaranya mengenai tempat mendarat bagi helikopter dan pencawang (telekomunikasi) dinaikkan supaya tidak terkena air.

“Saya nak cadangkan supaya ‘template’ model Kemaman ini diguna pakai tempat lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, siasatan mengenai bot penyelamat yang terbalik hingga mengorbankan arwah Norhayati Sulong, 37, dan suami Suhaimi Awang, 37, akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Beliau sebelum itu sempat meluangkan masa melawat enam anak pasangan terbabit yang datang bersama nenek mereka, Zariah Yusof @ Awang, 75, ke dewan berkenaan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 7:56 AM