Redza Rafiq (empat dari kiri) bergambar kenangan pada majlis pertukaran dokumen Memorandum persefahaman di The St Regist Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Redza Rafiq (empat dari kiri) bergambar kenangan pada majlis pertukaran dokumen Memorandum persefahaman di The St Regist Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama The St Regis Langkawi (TSLR), Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti (JPKK) dan Akademi Pelancongan Langkawi (APL) dalam usaha membantu kerajaan memperkasakan bidang pelancongan negara.

Ketua Eksekutif NCIA Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, langkah itu seiring Blueprint Pelancongan Langkawi yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Disember 2011.

"Bersama TSRL kami sudah bersedia untuk bekerjasama dalam mengendalikan program latihan termasuk teori dan praktikal bagi melahirkan sumber tenaga manusia mapan dalam bidang perhotelan.

"Kerjasama dengan JPKK dan LTA pula bermatlamat melahirkan lebih ramaitenaga mahir dalam bidang terapi spa membabitkan para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia," katanya pada sidang media sempena majlis pertukaran dokumen MoU di TSLR di sini, sebentar tadi.

Redza Rafiq berkata, menerusi kerjasama dipersetujui itu TSRL bukan sahaja bersedia menyediakan kemudahan untuk latihan, malah turut memberi komitmen untuk menawarkan pekerjaan kepada pelatih LTA selepas mereka menamatkan kursus.

"Kita yakin dengan usaha ini hasrat NCIA mempromosi Langkawi sebagai destinasi pelancongan spa tradisional yang 'mesra muslim' menjadi realiti menjelang 2020," katanya.

Terdahulu, pada majlis pertukaran dokumen itu, NCIA diwakili Redza Rafiq, manakala TSRL diwakili Pengurus Besarnya, Thomas Schwall, seterusnya JPKK dan LTA masing-masing diwakili Ketua Pengarah, Datuk Amir Md Noor dan Pengarah, Zainab Othman.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi Tan Sri Khalid Ramli.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 6:36 PM