Kuala Lumpur: Pencarian pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sudah memasuki bulan kesembilan namun masih lagi diteruskan dan semalam, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mendedahkan satu rakaman baru yang kemungkinan serpihan pesawat malang itu yang ditemui di dasar laut.

Gambar yang dikeluarkan oleh ATSB itu menunjukkan kapal mencari dan menyelamat GO Pheonix ada merakam satu imej kemungkinan serpihan MH370.

“Imej dasar laut itu menunjukkan resolusi dan kualiti data dan butiran penting sepanjang pencarian di dasar laut,” menurut kenyataan ATSB yang mengetuai carian pesawat itu di Lautan Hindi.

Memetik laporan DailyMail, kapal GO Phoenix kembali ke kawasan itu, Selasa lalu untuk memulakan semula operasi mencari di bawah air.

“Satu lagi kapal Fugro Discovery, juga mencari di dasar laut menggunakan Fugro Equator iaitu operasi kajian ‘bathymetric’ di kawasan carian.

“Selain mencari pesawat, carian dalam air bertujuan memetakan serpihan MH370, mengenal pasti dan mengutamakan pemulihan komponen pesawat tertentu termasuk kotak hitam yang akan membantu dalam siasatan,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:17 AM