ANGGOTA polis trafik memeriksa mayat mangsa kemalangan, semalam.
ANGGOTA polis trafik memeriksa mayat mangsa kemalangan, semalam.

Kota Bharu: Seorang penunggang motosikal maut dirempuh kenderaan lain di Kilometer 38.5, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Kampung Banggol Petai dekat Machang, pagi semalam.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang Asisten Superintendan Loo Lian Lay berkata, kemalangan itu dimaklumkan orang awam yang membuat panggilan jam 10.30 pagi.

“Orang awam mengatakan berlaku kemalangan mengakibatkan penunggang motosikal maut dan identiti mangsa dikenali sebagai Mohd Shazwan Asra, 26, berasal dari Kampung Pemberian, Kuala Krai.

“Mangsa dipercayai dari arah Kota Bharu dan ketika di tempat kejadian, motosikalnya terbabas di bahu jalan sebelah kiri,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 9:11 AM