Foto hiasan
Foto hiasan
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menamatkan tempoh ujian awam sistem pembayaran tol Radio Frequency Identification (RFID) dengan mengaktifkan secara langsung laluan bayaran di sepanjang Hutan Kampung, Kedah hingga Sungai Dua, Pulau Pinang di sini, mulai Ahad ini.

Tempoh ujian awam RFID mula dijalankan sejak Julai tahun lalu dengan mempertingkatkan sistem Pengecaman Automatik Nombor Pendaftaran Kenderaan (ANPR) demi keselamatan dan kelancaran perjalanan yang membolehkan pelanggan melalui lorong itu pada kadar kelajuan 30 kilometer sejam (km/j) berbanding 20 km/j di lorong SmartTAG.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata, dengan pengaktifan sistem pembayaran itu membolehkan lebih ramai pelanggan lebuh raya menikmati perjalanan yang lancar tanpa sentuh dan tanpa tunai sejajar dengan norma baharu.

"Sebagai langkah menggalakkan pengalaman pembayaran tanpa tunai dan tanpa sentuh sejajar dengan norma baharu, sistem RFID memudahkan pelanggan untuk menambah nilai dan mengekalkan baki yang mencukupi melalui tambah nilai dalam talian yang lebih selamat dan tambah nilai automatik melalui Touch 'n Go (TnG) e-Wallet.

"Keunikan pengalaman RFID di PLUS terletak pada gabungan sistem ANPR dan Pusat Validasi Tol (TVC) yang menggunakan kamera beresolusi tinggi di kedua-dua lorong masuk dan keluar, sekali gus membolehkan semua pelanggan RFID sentiasa melalui lorong tol dengan lancar.

"Pada masa sama, sistem ANPR dan TVC bersepadu ini akan dapat mengesan, menganalisis dan menyelesaikan isu pelanggan RFID secara automatik tanpa mengganggu pengalaman perjalanan pelanggan di lorong terbabit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, sistem RFID di PLUS dengan ANPR dan Pusat Validasi Tol (TVC) juga akan meningkatkan pemprosesan pembayaran sebagai langkah pertama ke arah lebuh raya sistem tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) pada masa akan datang.

Sementara itu, Azman berkata, pihaknya mengunjurkan penggunaan RFID di laluan PLUS Hutan Kampung hingga Sungai Dua akan meningkat sehingga 30 peratus dalam masa terdekat berikutan kebenaran rentas negeri.

"Oleh itu, kami bekerjasama dengan kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang untuk membawa RFID kepada pelanggan tempatan kami untuk menikmati pengalaman yang lancar menggunakan lorong RFID.

"Selain itu, kerjasama erat bersama Kementerian Kerja Raya serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak Touch 'n Go Sdn Bhd (TnG), PLUS juga sedang berusaha untuk memperluaskan akses kepada pembayaran tol RFID di sepanjang lebuh raya dari Juru ke Skudai mulai awal 2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 10:48 PM