Putrajaya: Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, menjadi masjid pertama di negara ini melaksanakan kolaborasi bersama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi menjayakan Program Pengajian Sepanjang Hayat bagi memberi peluang kepada orang ramai yang mahu mendalami ilmu agama.

Program itu dilaksanakan bersama tiga IPTA iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Pegawai Perhubungan Awam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Hamdan Muhamad berkata, program bersama UIAM hanya terbuka kepada warga emas berusia 55 tahun ke atas manakala, program bersama UKM dan USIM terbuka kepada orang awam.

Menurutnya, pelaksanaan program itu menyediakan peluang kepada masyarakat untuk mendalami ilmu dan meningkatkan kemahiran berkaitan agama.

“Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada golongan pendidik yang pakar dapat menyumbangkan ilmu dan kepakaran mereka kepada masyarakat.

“Program bertujuan mengimarahkan masjid dengan pengisian aktiviti pengajian serta menggalakkan masyarakat meningkatkan ilmu pengetahuan,” katanya ketika ditemui pada Taklimat Program Pengajian Sepanjang Hayat bersama UIAM di sini, semalam.

Seramai 40 peserta terdiri daripada warga emas iaitu pesara dan suri rumah menghadiri taklimat mengenai pengisian program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 8:44 AM