SERAMAI 200 sukarelawan memeriahkan program Fiesta Ramadan.
SERAMAI 200 sukarelawan memeriahkan program Fiesta Ramadan.
Nurul Husna Mahmud


PEMBABITAN 200 sukarelawan terdiri daripada tujuh universiti tempatan dalam menjayakan Ramadan Fiesta, acara tahunan YOSH MyFundAction yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu baru-baru ini nyata menyingkap seribu satu pengalaman.

Sukarelawan dari Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kuala Lumpur (UNIKL), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) turut mengakui program berkenaan memberi persepsi berbeza khususnya pengalaman menjalani ibadah atau beriktikaf di masjid.

Menurut sukarelawan dari Utem, Mohd Arsyad Mohd Arif, 21, program berkenaan membuatkannya menyedari kepentingan 'tarbiah' terhadap golongan muda.

"Selepas menghadiri Ramadan Fiesta sepanjang dua hari satu malam, saya mula menyedari ramai belia 'dahagakan' tarbiah atau pengisian agama.

"Ramai yang mahu hadiri majlis tarbiah atau solat Subuh berjemaah. Ini bukan kerana mahu mengikut kempen artis, sebaliknya sebelum ini mereka tidak diajak atau didorong untuk ke masjid.

"Manusia itu sendiri sifatnya pelupa termasuk saya dan perlu sentiasa diingatkan untuk sama-sama membuat kebaikan.

"Dengan cara mengajak orang lain melakukan kebaikan dan melakukan ibadah bersama, ia juga menjadi tanda ingatan buat saya supaya tidak terus alpa," katanya.

Mohd Arsyad juga berkata, dia turut teruja dengan tugasan diberi termasuk mengajar kanak-kanak cara solat yang betul dan menyediakan bubur lambuk untuk komuniti.

SOLAT Subuh berjemaah dan qiamullail antara penekanan kepada belia dalam program terbabit.
SOLAT Subuh berjemaah dan qiamullail antara penekanan kepada belia dalam program terbabit.

"Pengisian program tidak hanya menjalani ibadah di masjid semata-mata, tapi saya juga melihat peranan masjid adalah tempat membina jaringan sosial lebih positif.

"Tujuan saya menyertai program secara sukarela kerana mahu meningkatkan kemahiran sosial termasuk komunikasi bersama sukarelawan lain.

"Sangkaan awal saya pula, ruang bersosial dalam program itu setakat rakan sukarelawan sahaja. Tetapi, yang berlaku lebih daripada itu kerana lebih 10,000 orang hadir dalam program terbabit" katanya.

Program itu secara tidak langsung menunjukkan institusi masjid antara jaringan sosial lebih kukuh dan positif.

"Sukarelawan dari pelbagai universiti turut berjaya membawa peranan belia yang lebih positif dengan mengajak orang ramai menyertai pelbagai aktiviti Ramadan Fiesta ini.

"Kami menggunakan platform media sosial yang juga pengaruh kuat supaya lebih ramai belia untuk menyertai aktiviti penting antaranya solat Subuh berjemaah atau Program Geng Subuh Macam Jumaat anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan penyanyi, Alif Satar serta qiamullail menerusi kempen Fajar Sejuta Pemuda," katanya.

SUKARELAWAN bertungkus-lumus menyediakan 1,000 pek bubur lambuk untuk orang ramai.
SUKARELAWAN bertungkus-lumus menyediakan 1,000 pek bubur lambuk untuk orang ramai.

Sementara itu, sukarelawan dari UKM, Nor Izzah Norannuar pula berkata, program qiamullail yang dinamakan Fajar Sejuta Pemuda juga satu pengalaman berbeza buat dirinya.

"Saya sebelum ini pernah juga menyertai program qiamullail anjuran universiti dan lain rasanya apabila menyertai program sukarelawan YOSH MyFundAction bersama pihak universiti serta Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam program Fajar Sejuta Pemuda.

"Kami tidur beramai-ramai dalam masjid ketika menanti untuk mendirikan solat sunat secara berjemaah.

"Bayangkan 10,000 jemaah yang terdiri terdiri daripada komuniti setempat tidur dalam masjid sebelum mendirikan solat sunat bersama, suasana qiamullail itu sendiri satu yang luar biasa bagi saya," katanya.

Nor Izzah berharap, penganjuran tahun hadapan dapat menarik lebih ramai belia menyertai program ilmiah terbabit.

"Saya berharap lebih ramai belia menghadirkan diri dalam program sebegini dengan menjalankan kolaborasi bersama universiti.

MENGAJAK belia mengimarahkan masjid.
MENGAJAK belia mengimarahkan masjid.

"Kolaborasi itu memudahkan kami menarik lebih ramai pelajar universiti mendekatkan diri dengan masjid," katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek Ramadan Fiesta 2024, Muhammad Thaqeef Farhan Alwan, 22, berkata, acara itu turut diadakan di beberapa masjid lain membabitkan beberapa negeri antaranya Kota Kinabalu, Sabah, Tanjung Karang, Selangor, Kepala Batas, Pulau Pinang dan Terengganu.

"Alhamdulillah Program Fajar Sejuta Pemuda ini memfokuskan aktiviti qiamullail dan Solat Subuh berjemaah.

"Pembabitan belia bersama komuniti seramai 10,000 orang di Masjid Wilayah sempena Program Geng Subuh Macam Jumaat yang dianjurkan Jawi dan Alif Satar bersama beberapa kolaborasi lain mendapat reaksi positif dari jemaah hadir.

"Selain itu, program ini juga menarik minat pelajar dan jemaah antarabangsa dari Indonesia, Jepun dan Palestin yang turut hadir bersama dan dapat mengenali serta belajar adat negara kita menyambut Ramadan menerusi aktiviti bubur lambuk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 6:20 AM