KEADAAN tebing runtuh dan mendapan jalan yang teruk.
KEADAAN tebing runtuh dan mendapan jalan yang teruk.

Slim River : Kira-kira 1,000 penduduk yang tinggal di sekitar Kampung Kuala Slim dan kawasan sempadan Selangor-Perak di sini, terpaksa menggunakan laluan alternatif selepas Jalan Kuala Slim runtuh, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, laluan di Batu 4, Jalan Kuala Slim runtuh membabitkan kawasan seluas lapan meter lebar dan 34 meter panjang dengan runtuhan tebing jalan setinggi 45 meter.

Runtuhan itu difahamkan berlaku sejak dua minggu, namun tidak serius dan hujan lebat selama beberapa jam lewat petang kelmarin menyebabkan keadaan bertambah buruk hingga mengakibatkan tebing runtuh dan mendapan jalan yang teruk.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKK) Kampung Kuala Slim Mohd Zambri Jalil, 51, berkata, penduduk di sekitar kawasan kejadian menggunakan laluan di ladang terletak tujuh kilometer dari lokasi kejadian.

“Kami bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan ketika tebing jalan itu runtuh malam tadi (kelmarin) kerana jalan ini adalah jalan utama bagi penduduk ke pekan Slim River.

“Susulan itu, kami mencari laluan alternatif dan memohon pengurusan ladang sawit berhampiran untuk membenarkan penduduk melalui jalan tanah merah di ladang itu untuk ke pekan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Slim River berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu jam 8.23 malam sebelum pemantauan dilakukan di kawasan itu bagi menjamin keselamatan awam terutama penduduk yang menggunakan laluan berkenaan.

Menurutnya, pemantauan dilakukan hingga jam 9.30 malam sebelum diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan polis.

“Bagaimanapun, pagi tadi (semalam) kami menjalankan pemeriksaan sekali lagi, tiada runtuhan baru berlaku kecuali beberapa rekahan kecil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 8:55 AM