Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Saya berharap dengan perubahan diperjuangkan kerajaan, kita akan menjadikan mutu pendidikan terutama di sekolah kebangsaan lebih baik dan antara yang terbaik di dunia,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata demikian merujuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 diusahakan kerajaan bertujuan mentransformasikan sistem pendidikan negara.

Beliau berkata, kerajaan sedar sistem pendidikan negara perlu terus diperbaiki bagi melahirkan individu berpengetahuan, beretika dan mempunyai daya saing lebih tinggi.

“Ini supaya dapat melahirkan individu yang lebih kreatif, berkebolehan berfikir serta mampu bersaing dalam dunia yang lebih kompetitif ini,” kata beliau melalui siaran radio di dalam blognya NajibRazak.com semalam.

Dalam pada itu Najib berkata, sistem pendidikan negara pernah dirombak secara besar-besaran pada 1996 membabitkan peranan pendidikan swasta.

“Dalam sejarah negara kita, pada 1996, ketika saya menjadi Menteri Pendidikan sudah dilakukan rombakan besar pada sistem pendidikan negara, antaranya membolehkan peranan pendidikan swasta diperluaskan,” katanya.

PPPM 2013-2025 yang dilancarkan September tahun lalu itu menunjukkan pencapaian memberangsangkan dan ada yang mencapai sebahagian daripada Penunjuk Prestasi Utama (KPI) menerusi beberapa inisiatifnya.

Pelan berkenaan satu-satunya manifestasi transformasi kerajaan paling menyeluruh dan besar dalam mendatangkan pulangan terbaik modal insan memacu hasrat pembangunan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:17 AM