AHMAD Zahid (tengah) melihat produk yang dihasilkan selepas merasmikan bangunan operasi Balqis Textiles And Manufacturing Sdn Bhd.
AHMAD Zahid (tengah) melihat produk yang dihasilkan selepas merasmikan bangunan operasi Balqis Textiles And Manufacturing Sdn Bhd.

Rawang: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan kebanyakan pekerja asing berada di Cameron Highlands disebabkan ditipu oleh ejen yang dilantik majikan kononnya mahu mendapatkan permit kerja.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, masalah besar berlaku apabila ejen pekerja asing yang tidak berdaftar dilantik oleh majikan untuk mendapatkan permit kerja.

“Bagaimanapun selepas bayaran dibuat oleh majikan, ejen ini melarikan diri dan meninggalkan pekerja asing begitu saja.

“Ini yang menyebabkan pekerja asing yang masuk secara halal (laluan betul) boleh menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) berikutan ditipu ejen masing-masing,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan bangunan operasi Balqis Textiles And Manufacturing Sdn Bhd di Kundang Jaya di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai lambakan warga asing di Cameron Highlands dan langkah penguatkuasaan KDN.

Katanya, beliau juga berharap pemantauan secara berterusan dilakukan oleh Jabatan Imigresen bagi membanteras PATI di kawasan peranginan itu.

“Kita berharap tindakan penguatkuasaan dijalankan sepanjang tahun dan tidak bermusim bagi menahan pekerja asing yang tidak mempunyai permit kerja di Cameron Highlands.

“KDN juga menyarankan majikan supaya melakukan permohonan atas talian untuk mengambil pekerja asing kepada Jabatan Imigresen supaya tidak ditipu ejen,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, seramai 141 pemegang kad United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) yang sepatutnya tidak boleh bekerja ditahan oleh Jabatan Imigresen dalam operasi yang diadakan baru-baru ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Bank Negara Malaysia bagi memantau aliran wang negara yang keluar bagi kegiatan militan.

“Kita akan menjadikan dua agensi berkenaan sebagai bank pusat dan pemantauan bagi membanteras kegiatan keganasan mengikut Akta Pencegahan dan Penggubahan Wang Haram (AMLA).

“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan AMLA kepada individu yang menyalurkan aliran wang untuk kegiatan keganasan termasuk kepada individu yang mengutip derma di laman sosial kemudian menyalurkan ke negara berkenaan (Syria dan Iraq),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:08 AM