ANGGOTA Jabatan Imigresen melafazkan Ikrar Bebas Rasuah. FOTO Bernama
ANGGOTA Jabatan Imigresen melafazkan Ikrar Bebas Rasuah. FOTO Bernama
Mohd Husni Mohd Noor


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) disaran memperkenalkan lebih banyak perkhidmatan secara dalam talian pada masa depan bagi mengelak pegawai dan anggota terdedah kepada rasuah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau percaya teknologi akan dapat memberikan elemen penting untuk mengelak amalan rasuah.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, perkhidmatan harus diubah kepada sistem dalam talian atau teknologi supaya semua urusan dapat dilakukan tanpa rakyat bertemu dengan pegawai atau anggota barisan hadapan sekaligus mengelak kemungkinan perbuatan rasuah.

"Sebagai contoh, bahagian pekerja asing di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM tidak melayan mana-mana ejen atau individu yang lazimnya menjadi perantara antara majikan dan imigresen.

"Justeru, semua permohonan bagi perkhidmatan di bahagian pekerja asing dilakukan secara atas talian untuk mengelak perbuatan rasuah," katanya ketika berucap pada majlis Ikrar Bebaas Rasuah JIM di Putrajaya, hari ini.

Katanya, beliau percaya ia (perkhidmatan) agak menyukarkan pada peringkat awal namun, apabila sudah biasa dengannya perkhidmatan itu mampu memberi elemen penting untuk mengelak berlakunya rasuah.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga mahu perkhidmatan dalam talian tidak hanya dilaksanakan di KDN sebaliknya di JIM sekali gus segala urusan permohonan dipermudahkan; kelulusan dipercepatkan dan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat.

Menurutnya, beliau juga berharap perkhidmatan dalam talian ini dapat meningkatkan persepsi rakyat terhadap kementerian dan jabatan sekali gus membantu membanteras gejala rasuah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 5:41 PM