Bahagian Penguat kuasa Farmasi merampas ubat perangsang seks.
Bahagian Penguat kuasa Farmasi merampas ubat perangsang seks.
ANTARA produk rangsangan seks dari negara jiran  didakwa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit  dirampas.
ANTARA produk rangsangan seks dari negara jiran didakwa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit dirampas.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Khasiat sampingan kononnya mampu menyembuhkan sakit gout dan nyanyuk adalah antara taktik digunakan jurujual ubat perangsang seks dari negara jiran untuk melariskan jualan.

Kebanyakan pil perangsang seks tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) ini dikesan dijual secara berleluasa terutama di kedai runcit dan kedai jamu di seluruh negara.

Rata-rata pil perangsang seks ini yang dijual antara harga RM5 hingga RM10 sepeket turut didakwa boleh merawat penyakit lain seperti kencing manis atau penyakit angin ahmar jika diambil berterusan.

Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM Mazlan Ismail berkata, dakwaan pil perangsang seks dari negara jiran itu boleh menyembuhkan pelbagai penyakit dihadapi golongan warga emas adalah tidak munasabah sama sekali.

Menurutnya, pil perangsang seks haram dari negara jiran tidak mempunyai bahan aktif yang boleh menyembuhkan penyakit kronik berkenaan.

“Penyelidikan makmal kimia hanya menemui bahan aktif beracun sildenafil dan tadalafil yang digunakan khusus untuk mengatasi masalah seksual lelaki.

“Dua kimia ini mampu mengatasi masalah kegagalan lelaki mencapai ereksi atau mati pucuk terutama yang berusia 40 tahun ke atas,” katanya.

Menurutnya, walaupun pada peringkat awal sildenafil dicipta untuk mengubati penyakit darah tinggi, ia didapati mempunyai kesan lebih ketara terhadap masalah ejakulasi.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:10 AM