Johor Bahru: “Saya mahu meneroka lagi bidang Matematik Tulen ini dan bercadang menghasilkan kajian sendiri berkaitan teori kumpulan Aljabar,” kata pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) termuda negara Dr Hazzirah Izzati Mat Hassim, 24, ketika ditemui selepas majlis Konvokesyen ke-53 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dewan Sultan Iskandar, Skudai di sini, semalam.

Dr Hazzirah Izzati yang turut menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records berkata, dia bersyukur dengan kejayaannya itu namun tidak mahu berada di kedudukan sama sebaliknya berhasrat keluar daripada zon selesa.

“Bergelar graduan PhD pada usia muda tentunya menggembirakan dan anugerah itu satu bonus untuk saya melangkah lebih jauh dalam bidang ini.

“Namun, saya tidak mahu terlalu berpuas hati dengan pencapaian ini kerana sedar ia tidak akan ke mana jika tidak berani keluar daripada zon selesa.

“Kalau boleh, saya mahu merebut apa jua peluang yang ditawarkan khasnya berkaitan bidang yang dipelajari,” katanya.

Dr Hazzirah Izzati yang berkahwin dengan Muhammad Najib Zakaria, 26, pada 13 September lalu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 1, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Krai dan MRSM Bitara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Dia kemudiannya menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) sebelum ditawarkan UTM untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD di bawah program ‘PhD Fast Track UTM’ dalam jurusan Matematik Tulen.

Sepanjang tempoh pengajiannya, Hazzirah Izzati turut menyumbang dalam penerbitan buku, jurnal berindeks dan tidak berindeks selain membentangkan hasil penyelidikannya pada persidangan antarabangsa seperti Seminar Algebra Iran di Sabzevar, Iran, Persidangan Teori Kumpulan Antarabangsa Biennial di Istanbul, Turki, Persidangan Matematik Asia di Busan, Korea Selatan dan Seminar Algebra di University of Brasilia, Brazil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 7:47 AM