DR Alfred (tengah) merasmikan Karnival Lan Berambeh Anak Sarawak 2014, semalam.
DR Alfred (tengah) merasmikan Karnival Lan Berambeh Anak Sarawak 2014, semalam.

Kuala Lumpur: Karnival Lan Berambeh Anak Sarawak 2014 menyasarkan hasil jualan RM500,000 dengan kehadiran 30,000 pengunjung bagi tempoh tiga hari bermula semalam.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr Alfred Jabu Anak Numpang berkata, karnival itu mengetengahkan pelbagai produk makanan dan kraf tangan istimewa dari Sarawak oleh 80 usahawan.

“Kami datang membawa produk dari Sarawak yang bermutu tinggi seperti kek lapis, terubok masin dan segala jenis manik. Saya berharap dalam tiga hari ini yang membabitkan penyertaan daripada ramai peserta boleh mendapat perolehan yang lumayan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival itu di sini, semalam.

Beliau berkata, keistimewaan karnival Sarawak Kitchen yang menempatkan 20 gerai jualan pelbagai jenis makanan seperti mi kolok, mi jawa, terubok masin dan laksa Sarawak.

“Sebanyak 100 gerai dibuka pada karnival ini, 60 gerai untuk jualan produk dari Sarawak dan selebihnya pameran pelbagai agensi kerajaan,” katanya.

Alfred Jabu berkata, karnival berkenaan boleh menjadi platform mengeratkan lagi silaturahim antara masyarakat di Sarawak dengan Semenanjung menerusi perkongsian keunikan ciri-ciri warisan dan kebudayaan negeri itu yang dipersembahkan kepada pengunjung yang hadir.

Dalam pada itu, menurut kenyataan daripada Biro Publisiti Jawatankuasa Pengelola karnival, Program Lan Berambeh Anak Sarawak diadakan sejak 2008 yang bertujuan mengumpulkan anak-anak Sarawak yang menetap di Semenanjung.

Kenyataan itu berkata pada permulaan, ia diadakan dengan skala kecil dengan menjemput anak Sarawak yang menetap di Semenanjung berkumpul dalam majlis makan malam yang setiap tahun bilangan anak-anak Sarawak yang berkumpul semakin bertambah.

Sehubungan itu, atas faktor berkenaan, tahun ini ia diadakan dalam skala yang lebih besar berbentuk karnival yang akan dibuka pada jam 10 pagi hingga 10 malam di Perkarangan Stadium Bukit Jalil.

Selain jualan produk Sarawak, pelbagai acara menarik lain seperti pameran, persembahan kebudayaan, forum kerohanian dan forum keusahawanan dianjurkan pada karnival tersebut.

Pengerusi pengelola karnival itu tahun ini ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Dijangkakan 10,000 anak Sarawak akan berkumpul menghadiri majlis jamuan makan malam esok sempena karnival berkenaan.– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:10 AM