NUBHAN bersama Lamien (dua dari kanan) pada sidang media baru-baru ini.
NUBHAN bersama Lamien (dua dari kanan) pada sidang media baru-baru ini.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) buat julung kalinya akan berlangsung di luar semenanjung iaitu di Tebingan Sungai, Kuching, Sarawak selama dua hari bermula semalam hingga esok (16 Ogos).

Program ini bakal menampilkan ramai artis popular serta kehadiran tokoh dakwah terkenal Datuk Ustaz Khazim Elias.

Antara artis bakal menjayakan Konsert Gegar HK 2015 adalah Dayang Nurfaizah, Nubhan, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Ramli Sarip, Mark Adam, Nana Sheme dan Nabil Raja Lawak.

HKN yang turut diserikan pelbagai atur cara menarik akan dirasmikan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem de­ngan diiringi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainudin dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) serta Menteri Muda Perancangan Sumber Negeri, Datuk Mohd. Naroden Majais pada jam 10.30 pagi ini di tapak acara.

Menurut Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Lamien Sawiyo, HKN disambut bagi memberi pengiktirafan kepada gerakan koperasi terutamanya sumbangan dan peranan koperasi dalam pembangunan ekonomi negara.

“Dengan tema Satu Untuk Semua, Semua Untuk Satu, saya berharap semua koperator mengambil peluang mempromosikan konsep dan produk masing-masing kepada orang ramai.

“HKN antara usaha kerajaan mentransformasikan satu entiti perniagaan yang lebih efisien, mampu bersaing dan meningkatkan pendapatan anggotanya,” kata Lamien.

Sebanyak 200 tapak gerai disediakan bagi mempamerkan perkhidmatan koperasi dan produk termasuk makanan, kraftangan, pelancongan, kesihatan, jahitan serta sulaman.

Bagi meraikan penduduk Sarawak, majlis Jamuan Hari Raya (Jom Berambeh) akan diadakan pada hari ini bermula jam 12.30 tengah hari.

Acara lain yang akan diadakan ialah Senam Seni 1Malaysia, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak oleh Skuad Nuri Bank Rakyat, Coop Karaoke, Promo Trailer Filem Kanang Anak Langkau oleh Bade Haji Azmi, Coop Get Talent, Pidato Piala Coop, Battle D’Buskers, Sarawak Pun Ada Talent dan banyak lagi.

Semua acara terbuka kepada orang ramai dan diadakan secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:01 AM