AHLI  Parlimen Pasir Gudang,  Normala Abd Samad (kiri) bersama Noraini  di Taman Nusa Damai Pasir Gudang.
AHLI Parlimen Pasir Gudang, Normala Abd Samad (kiri) bersama Noraini di Taman Nusa Damai Pasir Gudang.

Pasir Gudang: “Saya memanggil kakak supaya cepat keluar dari tasik, tetapi dia tidak menyahut menyebabkan saya berlari pulang memberitahu ibu,” kata Muhammad Aiman Nur Hassan, 9, adik kepada salah seorang daripada dua kanak-kanak yang ditemui lemas di tasik terbiar di Taman Nusa Damai, di sini, kelmarin.

Menurut Muhammad Aiman, kejadian berlaku ketika dia menemani kakaknya, Nur Azdriana, 11, dan jiran, Yunis Semot, 10, ke tasik terbiar berkenaan yang terletak tidak jauh dari rumah mereka di Taman Scientex, di sini, jam 5 petang.

“Kakak mengajak saya menemaninya kerana Yunis mahu ke tasik, tetapi ketika bermain air, Yunis terperangkap dan kakak mahu bantu.

“Kakak mengarahkan saya tidak masuk ke dalam tasik kerana kami tidak pandai berenang, tetapi kakak memberitahu dia mesti menyelamatkan Yunis.

“Ketika itu, saya melihat air tasik itu seperti berpusar dan mereka terkapai-kapai sebelum tenggelam,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya, di sini, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan mayat kedua-dua kanak-kanak terbabit ditemui anggota Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang yang melancarkan operasi mencari dan menyelamat pada jam 10.12 malam, kelmarin.

Operasi dilancarkan sebaik bomba menerima panggilan jam 6.47 petang membabitkan 10 anggota termasuk unit skuba.

Jenazah Nur Azdriana dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Cahaya Masai, di sini, selepas waktu Zuhur manakala upacara pengebumian Yunis dijangka dilaksanakan hari ini mengikut agama Kristian.

Sementara itu, ibu saudara Nur Azdriana, Nurkia Arajan, 25, berkata, arwah disenangi ramai kerana sikapnya gemar membantu dan ketika kejadian, dia difahamkan arwah dan adik lelakinya hanya memaklumkan kepada ibunya mahu bermain di taman permainan berhampiran.

“Ibu arwah, Noraini Asanul, 30-an, hanya mengetahui kejadian apabila Muhammad Aiman pulang ke rumah berseorangan dalam keadaan ketakutan.

“Muhammad Aiman menyatakan kakaknya hilang di tasik itu bersama seorang lagi rakan,” katanya sambil memberitahu ketika kejadian, bapa arwah tiada di rumah kerana bekerja di Sabah.

Nurkia berkata, arwah Nur Azdriana pernah menceritakan dia mempunyai rakan baik iaitu Yunis yang dikenali di Sekolah Kebangsaan Kampung Kopok, di sini.

“Tidak disangka kedua-dua mereka pergi meninggalkan keluarga masing-masing buat selamanya. Kami masih terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 5:08 AM