Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: "Saya cuba menghubungi telefon bimbit anak namun dijawab seorang individu yang memaklumkan anak saya terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia di situ menyebabkan saya menggeletar seluruh badan," kata Safinah Zakaria.

Safinah, 48, adalah ibu kepada Muhammad Izani Mohd Tuah, 15, yang meninggal dunia dalam kemalangan selepas kereta Honda EG dinaiki bersama empat rakannya terbabas di Kilometer 63.5, Jalan Alor Setar-Butterworth di sini, hari ini.

Pada kemalangan jam 2.30 pagi, dua rakannya, Muhammad Aiman Rusdi, 17, yang memandu kereta itu dan Mohd Iman Mohd Akhir, 17, turut disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.

Dua lagi penumpang, Muhammad Zulhakim Zulkhairi, 17, parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, manakala Alif Danial Abdul Aziz, 15, cedera ringan.

Menurut Safinah, dia tidak menyangka sikap manja anak bongsu daripada empat beradik itu yang memeluk dan mencium pipinya sebelum tidur pada malam Sabtu lalu adalah yang terakhir buatnya.

Katanya, Muhammad Izani tinggal bersama sepupunya di Taman Semarak di sini, kerana bekerja sambilan di sebuah kedai makan di situ.

"Saya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi sepupu arwah yang memberitahu anak saya terbabit kemalangan.

"Ketika itu saya berada di Alor Setar kerana mempunyai urusan dan apabila menghubungi telefon bimbit anak, ada individu tidak dikenali menjawab panggilan dan meminta saya datang ke lokasi melihat keadaan anak yang sudah meninggal, " katanya ditemui di HSAH.

Safinah yang juga ibu tunggal berkata, Muhammad Izani adalah anak yang baik dan periang namun tidak menyangka anaknya itu akan pergi pada usia muda.

Sementara itu, bapa kepada Muhammad Aiman, Ahmad Rusdi Abdul Rahman, 50, berkata, Muhammad Aiman dipercayai memandu Honda EG milik abangnya dan memberitahu hendak ke rumah kakak keduanya di Bandar Perdana di sini.

Katanya, selepas itu, Muhammad Aiman terus keluar bersama rakan-rakannya untuk makan malam.

"Ketika kejadian, saya berada di rumah sebelum dihubungi anak kedua yang memaklumkan Muhammad Aiman terbabit kemalangan. Saya terus ke lokasi kemalangan.

"Tiba di lokasi, saya dimaklumkan Muhammad Aiman sudah tiada namun saya reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Menurut Ahmad Rusdi, Muhammad Aiman yang sudah tidak bersekolah membantu bapa saudaranya berniaga buah di Tikam Batu.

Katanya, Muhammad Aiman yang juga anak kelima daripada tujuh beradik sebelum ini manja dengan arwah ibunya.

Namun, katanya, selepas ibu Muhammad Aiman meninggal dunia akibat Covid-19 tahun lalu, dia akrab dengan adik beradik lain terutama dua kakaknya.

Katanya, jenazah Muhammad Aiman akan dikebumikan di Tikam Batu selepas selesai urusan bedah siasat.

Setakat ini, jenazah ketiga-tiga mangsa masih berada di Jabatan Forensik HSAH.

SAFINAH (kiri) ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SAFINAH (kiri) ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 3:28 PM