Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur

Tiada lagi tolak ansur apabila Bahagian Penguat Kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bertindak tegas menyita 15 teksi yang didapati menipu penumpang.

Dalam operasi 'Ops Tegas' bermula jam 9 pagi semalam, seramai 55 pegawai dan anggota SPAD bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) memburu segelintir pemandu teksi yang berdegil di sekitar ibu kota.

Operasi dilakukan serentak di lokasi 'panas' membabitkan Pasar Seni, Menara Berkembar Petronas (KLCC), Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tun Sambanthan, Hentian Putra dan sekitar Pudu di sini.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Mejar Jeneral (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, sebanyak 51 pemandu teksi ditahan dalam operasi itu selepas dikesan tidak menggunakan meter, tiada dokumen sah dan enggan mengambil penumpang.

"Daripada jumlah itu sebanyak 15 pemandu dikesan tidak menggunakan meter, sekali gus kenderaan mereka disita untuk siasatan.

"Pengendali kenderaan itu (operator) perlu tampil dan membantu siasatan kerana mereka seolah-olah sengaja membiarkan pemandu teksi itu melanggar syarat," katanya pada sidang media di perkarangan Stadium Merdeka di sini, semalam.

Che Hasni berkata, tindakan pihaknya menyita terus teksi itu sebagai langkah lebih tegas untuk membanteras kegiatan pemandu teksi yang sengaja mengenakan tambang cekik darah terhadap penumpang terutama pelancong asing.

"Sebelum ini saya sudah memberi amaran akan menyita teksi yang degil sekiranya pemandu itu ditahan. Hari ini (semalam) kami melaksanakan tindakan itu buat kali pertama.

"Tindakan menyita itu juga akan diperluas bagi pemandu yang ditahan kerana enggan mengambil penumpang. Hari ini (semalam) seramai 11 pemandu dikesan melakukan kesalahan itu dan kita bagi mereka peluang terakhir sebelum langkah ini dilaksanakan," katanya.

Dalam operasi khas itu, seramai 45 anggota penguatkuasaan SPAD melakukan penyamaran sebagai penumpang bagi memerangkap pemandu teksi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:34 AM