AMIRUDDIN bersama  seekor daripada kucingnya. FOTO Hairul Anuar Rahim & Ihsan Amiruddin Am Sariff
AMIRUDDIN bersama seekor daripada kucingnya. FOTO Hairul Anuar Rahim & Ihsan Amiruddin Am Sariff
Muhamaad Razis Ismail


SEBAIK melangkah masuk ke sebuah kediaman di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor, penulis disambut dua kucing yang agak unik bentuk fizikalnya.

Telinga yang agak besar, bulu beralun pendek, muka bulat dan rangka badan yang sedikit melengkung membuatkan penulis tertanya-tanya jenis kucing ini.

Biarpun baharu pertama kali berjumpa, kucing jenis Cornish Rex ini tidak menunjukkan rasa takut dan jinak apabila mendekati sesiapa sahaja yang berada di kediaman itu.

Jurugambar, Hairul Anuar Rahim terpaksa bermandi peluh apabila perlu mengejar kucing yang aktif ini untuk mendapat gambar terbaik.

Salah seorang pemiliknya, Amiruddin Am Sariff, 34, berkata, sebanyak 15 ekor kucing dipelihara di kediaman ini yang dinamakan sebagai Kalopsia Cattery.

"Saya bersama rakan kongsi, Mohd Rashid Mohd Hussin, 42, mula memelihara kucing jenis itu sejak 2003 selepas membelinya dari Rusia.

"Alhamdulillah, selepas 18 tahun, kami antara pembiak Cornish Rex yang cukup dikenali di negara ini selepas memenangi banyak pertandingan di dalam dan luar negara," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

CORNISH Rex kucing yang aktif, manja dan sukakan perhatian. FOTO Hairul Anuar Rahim & Ihsan Amiruddin Am Sariff
CORNISH Rex kucing yang aktif, manja dan sukakan perhatian. FOTO Hairul Anuar Rahim & Ihsan Amiruddin Am Sariff

Menurutnya, dia sangat tertarik dengan Cornish Rex kerana bentuk fizikalnya yang unik dan elegan berbanding kucing lain.

"Kucing ini memiliki tubuh yang langsing, berotot, kerangka badan melengkung, berbulu beralun, muka seperti bujur telur dan memiliki telinga besar.

"Personalitinya juga unik, kerana ia sangat aktif, jinak, peramah dan sangat sukakan perhatian," katanya.

Biarpun berasal dari luar negara, penjagaan kucing jenis ini agak mudah namun bukan bermaksud boleh diambil ringan.

"Oleh itu, setiap bulan saya peruntukkan RM1,500 untuk makanan dan penjagaan kucing ini "Untuk memastikan kulit dan bentuk badan menarik, saya berikan makanan berkualiti yang mempunyai kandungan protein tinggi dan daging mentah. Kebersihannya juga perlu sentiasa dijaga untuk elakkan penyakit," katanya.

Dia mengakui, di negara ini populariti Cornish Rex tidak terkenal berbanding kucing lain berikutan kurang pendedahan berkenaan kucing jenis ini.

AMIRUDDIN (kiri) bersama rakan kongsinya. FOTO Hairul Anuar Rahim & Ihsan Amiruddin Am Sariff
AMIRUDDIN (kiri) bersama rakan kongsinya. FOTO Hairul Anuar Rahim & Ihsan Amiruddin Am Sariff

"Kucing ini tidak ramai peminat kerana kebanyakan daripada kita lebih terdedah dengan kucing yang gebu dan memil

iki bulu yang panjang serta tebal.

"Kadangkala ketika menyertai pameran kucing hanya saya seorang sahaja yang bawa Cornish Rex, namun ia secara tidak langsung berjaya menarik perhatian pengunjung kerana ia lain daripada yang lain," katanya.

Dia juga aktif menyertai pameran dan pertandingan kucing di dalam dan luar negara dan antara pencapaian terbaik yang diperoleh termasuk mendapat tempat ketiga dalam pertandingan kucing antarabangsa baru-baru ini.

"Antara tujuan utama sertai pameran dan pertandingan ini supaya saya dapat ketahui kucing yang dibiak ini berjaya memenuhi standard yang ditetapkan.

RUANG untuk keselesaan kucingnya. FOTO Hairul Anuar Rahim & Ihsan Amiruddin Am Sariff
RUANG untuk keselesaan kucingnya. FOTO Hairul Anuar Rahim & Ihsan Amiruddin Am Sariff

"Ia secara tidak langsung membuktikan pembiakan kucing ini memenuhi kualiti untuk pertandingan," katanya.

Jelasnya, kelebihan memelihara kucing, ia mampu memberi aura positif yang dapat memberi ketenangan kepada pemiliknya.

"Percaya atau tidak, dalam keadaan stres, apabila kita luangkan sedikit masa bermain dengan kucing, ia secara tidak langsung dapat menyalurkan tenaga positif yang menenangkan.

KUCING yang mudah dijaga. FOTO Hairul Anuar Rahim & Ihsan Amiruddin Am Sariff
KUCING yang mudah dijaga. FOTO Hairul Anuar Rahim & Ihsan Amiruddin Am Sariff

"Pada masa sama, haiwan ini sudah menjadi sebahagian daripada keluarga dan mengajar kita untuk memberi komitmen menjaganya sebaik mungkin," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia dan rakan kongsinya berhasrat untuk menambah jumlah kucing sedia ada.

"Pada masa sama, kami mahu lebih ke depan untuk memberi pendedahan kelebihan kucing jenis ini untuk pengetahuan umum," katanya.

Dia turut menasihatkan sesiapa sahaja yang ingin memelihara kucing jangan terburu-buru dan mengikut trend.

"Buat persediaan kepada diri sendiri dengan ilmu asas mengenai penjagaan haiwan peliharaan termasuk dari segi kewangan, mental dan ruang.

"Ini penting supaya kita tidak tertekan kerana penjagaan kucing memerlukan komitmen yang tinggi daripada segala segi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 7:00 AM