Oleh Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Hobi 'suka-suka' memelihara seekor kucing jalanan mengubah kehidupan seorang lelaki apabila kini memiliki 40 ekor kucing termasuk baka berharga ribuan ringgit sejak 12 tahun lalu.

Pengusaha kedai dobi Wan Mohd Nasoha Wan Mohd Zain, 38, yang mengakui jatuh cinta dengan telatah manja haiwan berkenaan berkata, dia sanggup berhabis ribuan ringgit sebulan bagi memastikan kesemua 'anak bulus' dalam keadaan terjaga keranan hobi itu boleh dijadikan terapi untuk mengurangkan tekanan kehidupan.

Menurutnya, dia kini mempunyai kucing baka seperti Cornish Rex, Parsian, Exotic Shorthair, Munchkin, British Shorthair dan Sphynx yang ditempatkan di ruangan khusus berpenghawa dingin walaupun bermula dengan hanya memelihara kucing jalanan.

"Bagi memastikan kesemua kucing terjaga rapi, saya belajar cara mendandan haiwan berkenaan selain memastikan mereka berasa selesa serta sihat.

"Sepanjang memelihara kucing juga, saya berpeluang menjelajah ke seluruh negara seperti ke Kuala Lumpur, Johor, Pahang, Pulau Pinang dan Melaka semata-mata untuk menyertai pertandingan sekaligu gus menimba pelbagai pengalaman," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chicha, Kubang Kerian di sini, kelmarin.

Wan Mohd Nasoha berkata, lebih menggembirakan apabila kucingnya berjaya memenangi beberapa kategori yang dipertandingkan termasuk di peringkat antarabangsa.

Katanya, kucing jalanannya yang diberi nama Toyol agak bertuah kerana mampu mendapat tempat dalam pertandingan di peringkat antarabangsa.

"Toyol sangat istimewa di hati saya kerana mempunyai keunikan tersendiri yang membolehkan dia mendapat tempat ketiga dalam pertandingan The Cat Fancier's Association di ibu negara pada 2018 bagi kategori Household Pet.

"Sebenarnya, nak jaga kucing perlu kesabaran tinggi selain kewangan juga harus kukuh kerana haiwan ini memerlukan makanan dan rawatan untuk kekal sihat.

"Berikutan itu, saya berasa sedih setiap kali melihat kes penderaan haiwan peliharaan khususnya kucing dan berharap orang ramai lebih peka serta menyayangi haiwan berkenaan yang dianggap istimewa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 7:30 AM