RUPA mengkarung tanpa kaki dilihat seperti ular.
RUPA mengkarung tanpa kaki dilihat seperti ular.
Muhamaad Razis Ismail


PENULIS yakin majoriti pembaca jika ditunjukkan gambar haiwan yang dipegang Nur Nina Farisha Woo Abdullah, 27, akan memberi jawapan ia adalah seekor ular.

Dari segi rupa, badan bersisik, menjalar untuk bergerak dan berwarna gelap, tidak dinafikan ramai yang 'tertipu' dengan persamaan yang dimiliki mengkarung Eropah tanpa kaki dengan ular.

Nur Nina berkata, keunikan mengkarung yang turut dikenali sebagai 'European Glass Lizard' dan 'Sheltopusik' ini kerana memiliki rupa seakan-akan seekor ular.

Katanya, mengkarung itu bukan cacat, sebaliknya melalui proses evolusi yang menyebabkan ia kehilangan kaki bagi mempercepatkan pergerakan masuk dalam pasir dan tanah lembut untuk menyorok daripada pemangsa dan berlindung dari cuaca buruk

"Mengkarung ini masih sangat jarang ditemui di negara ini dan pertama kali diimport sekitar setahun yang lalu.

"Pada ketika itu, tidak lebih 20 mengkarung jenis ini boleh ditemui di negara ini. Jadi, tidak hairan masih ramai yang tidak mengenali spesies mengkarung tanpa kaki dan beranggapan ia adalah ular bagi yang pertama kali melihatnya," katanya.

Menurutnya, sebahagian besar netizen takjub apabila melihat videonya bersama mengkarung tanpa kaki di media sosial kerana mereka belum pernah melihat dan mengetahui kewujudan haiwan jenis itu.

"Malah, segelintir netizen pula agak geli apabila melihat mengkarung ini yang kelihatan seakan-akan seekor ular. Tak kurang juga yang menghantar mesej untuk membeli mengkarung ini kerana tertarik dengan video saya.

"Saya juga teruja untuk menerangkan kepada netizen yang bertanya berkenaan mengkarung ini kerana mereka tersalah anggap bahawa ia dikatakan ular," katanya.

Dia berkata, mengkarung tanpa kaki ini dibeli daripada rakan yang juga pemilik kedai haiwan peliharaan di ibu kota untuk menambah koleksi haiwan itu dari pelbagai negara.

"Mengkarung yang saya beli ini adalah hasil daripada biak baka dalam kurungan dan bukan ditangkap di hutan," katanya.

Nur Nina berkata, perbezaan ketara antara mengkarung ini dengan mengkarung biasa ialah bahagian kaki depan dan belakang untuk bergerak.

"Oleh kerana tidak mempunyai kaki, mengkarung ini perlu menjalar seperti ular untuk bergerak.

"Pergerakan mengkarung ini tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat. Selain itu, ia tidak boleh memanjat pokok atau dahan kayu seperti spesies mengkarung yang lain," katanya.

Jelasnya, dari segi penjagaan, tidak banyak beza dengan mengkarung lain iaitu memerlukan suhu yang stabil sekitar 27 hingga 28 darjah Celsius dan sedikit sejuk pada sebelah malam iaitu sekitar 25 darjah Celsius.

"Saya turut menggunakan lampu ultra ungu (UVB) dan lampu panas bagi memastikan ia mendapat haba mencukupi bagi membantu proses penghadaman.

"Untuk pemakanan, saya berikan serangga seperti cengkerik dan ulat roti. Selain itu, haiwan ini turut makan daging dan makanan kucing atau anjing," katanya.

Berkongsi berkenaan rutin penjagaan, setiap dua hari sekali, Nur Nia memeriksa keadaan fizikal mengkarung peliharaannya supaya sentiasa dalam keadaan baik.

"Saya juga menukar air minum dan menambah serangga dalam bekas makanan. Bagi memastikan kelembapan dalam kandang sentiasa stabil, saya menyembur air dalam kandang setiap dua hari sekali.

"Selain itu, alas ataupun 'bedding' diganti dengan yang baharu setiap sebulan sekali," katanya. Biarpun memiliki rupa seakan-akan ular yang menakutkan, namun mengkarung ini memiliki pelbagai karakter unik dan sesuai dijadikan haiwan peliharaan.

"Reptilia ini memiliki sifat ingin tahu yang tinggi dan tidak malu berinteraksi dengan penjaganya. Apabila dipegang, ia agak tenang dan tidak menunjukkan reaksi terancam atau cuba menggigit," katanya.

Nur Nina berkata, dia seronok dan puas apabila dapat melihat sendiri haiwan yang dipelihara membesar dan sihat di depan mata.

"Selain itu, melihat haiwan ini bergerak dan dapat berinteraksi serta memahami karakternya yang unik ini dengan lebih dekat juga memberikan kepuasan kepada diri saya," katanya.

Katanya, bagi individu yang ingin memelihara mengkarung tanpa kaki dinasihatkan supaya melengkapkan diri dengan ilmu berkenaan haiwan ini.

"Maklumat boleh diperoleh sama ada melalui pembacaan di internet. Pada masa sama boleh juga mendapatkan maklumat dengan bertanya kepada pemelihara mengkarung tanpa kaki di serata dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 7:00 AM