ANGGOTA bomba menunjukkan anak ular yang ditangkap.
ANGGOTA bomba menunjukkan anak ular yang ditangkap.
myMetro

Kuala Lumpur: Aduan remeh dan seperti mahu menguji kesabaran anggota bomba. Itu yang berlaku apabila pihak bomba dan penyelamat dipanggil hanya untuk menangkap mengkarung atau memindahkan bangkai ular.

Malah anggota bomba semakin kerap dipanggil untuk menyelesaikan masalah musang atau haiwan tidak berbisa yang menceroboh kediaman.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya tetap cuba memberikan perkhidmatan terbaik terhadap setiap aduan diterima walaupun kes itu dianggap kecil.

“Tugas bomba hakiki memadam kebakaran. Bagaimanapun tugas itu kini mengikut peredaran serta cabaran semasa.

“Skop tugas bomba diperluaskan merangkumi kerja menyelamat mangsa kemalangan jalan raya, membersihkan kebocoran kimia, menyelamat mangsa di air, bencana alam atau bangunan runtuh dan sebagainya,” katanya.

Selain itu menurutnya, bomba menerima panggilan dan permohonan bantuan khas memindahkan pesakit dari lokasi kejadian atau dari hospital selain mempunyai kepakaran menangkap haiwan berbisa.

“Namun, terdapat segelintir individu membuat panggilan kecemasan hanya untuk kes kecil seperti menangkap mengkarung sebesar ibu jari, anak ular tidak berbisa atau memindahkan bangkai ular.

“Namun, kami tetap hadir ke setiap lokasi kejadian selepas menerima panggilan atas dasar tanggungjawab diamanahkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 10:11 AM