RUANG luas memberi keselesaan kepada Syrian hamster.
RUANG luas memberi keselesaan kepada Syrian hamster.
Hafiz Ithnin


JIKA berkunjung ke kedai menjual haiwan kesayangan pastinya hamster antara yang menarik perhatian

Mempunyai ciri-ciri yang kecil dan comel sudah tentu menjadi daya tarikan kepada mereka yang ingin menjadikannya sebagai haiwan kesayangan.

Sebenarnya terdapat pelbagai baka hamster antaranya Syrian hamster, Roborovski hamster, Campbell's hamster, Winter White hamster dan Chinese hamster.

Di Malaysia Syrian antara yang menjadi 'buruan' dalam kalangan peminat mamalia comel itu memandangkan ia mempunyai saiz yang tidak terlalu kecil dan mudah untuk dijinakkan.

Menerusi catatan portal The Spruce Pets, haiwan kesayangan itu turut mempunyai nama lain iaitu Golden hamster kerana kebanyakan Syrian hamster mempunyai warna seakan-akan oren keemasan.

Syrian hamster mula dikenali seawal tahun 1797 di Syria. Maka tidak hairanlah hamster kecil ini dinamakan Syrian.

Turut dikenali dengan nama sainstifik Mesocricetus auratus, Syrian hamster mempunyai panjang antara 0.12 meter hingga 0.22 meter (lima hingga sembilan inci) dan berat boleh mencecah sehingga 150 gram. Syrian hamster juga punyai jangka hayat antara dua hingga empat tahun.

Keunikan Syrian hamster terserlah apabila ia diklasifikasikan dalam genus Mesocricetus berbeza dengan kebanyakan hamster lain yang berada dalam kategori genus Phodopus walau pun masing-masing berada dalam order Rodensia.

Syrian hamster juga dikatakan antara yang mudah mesra dengan pemiliknya. Namun, disebabkan haiwan itu aktif pada sebelah malam, kebanyakan sebelah siang dihabiskan dengan berehat menyebabkan Syrian hamster sama seperti baka hamster yang lain tidak suka diganggu ketika berehat.

FAIZ Iskandar bersama salah seekor Syrian hamster yang dimilikinya.
FAIZ Iskandar bersama salah seekor Syrian hamster yang dimilikinya.

Menurut portal itu lagi, secara asasnya dalam kehidupan liarnya, Syrian hamster mempunyai sifat yang tidak suka berkongsi kawasan. Ertinya, haiwan comel ini gemar hidup bersendirian melainkan ketika ingin mengawan.

Kadang-kala hamster muda boleh bertolak ansur dengan hamster yang lain di dalam sangkar yang sama tetapi apabila sudah dewasa terdapat kemungkinan berlakunya sifat agresif dan terjadi pergaduhan sehingga menyebabkan kematian.

Portal itu turut berkongsi, meskipun Syrian hamster mempunyai sifat jinak tetapi tidak gemar untuk dipegang dan pemilik biasanya membiarkannya bergerak di atas tangan dan bahu.

Dari segi tempat simpanannya, lebih luas adalah lebih baik. Sekurang-kurangnya mampu menempatkan aksesori untuk haiwan itu 'bersenam' yang dikenali sebagai 'hamster wheel,' rumah kecil untuk menyorok di tempat gelap dan bekas makanan serta minuman.

Syrian hamster memerlukan diet bijiran seperti kekacang atau campuran bijiran khusus untuknya. Selain itu, peminat haiwan ini juga boleh memberi makan sayur-sayuran seperti epal, pear dan lobak.

Bagi salah seorang peminat Syrian hamster tempatan, Faiz Iskandar Shamshir, 35, berkata, dia mula memiliki lapan ekor Syrian hamster sejak tahun 2012. Pada mulanya dia membeli dua ekor hamster jantan dan lapan ekor hamster betina dari kedai haiwan berhampiran.

Jelasnya, Syrian hamster mempunyai keunikan dari segi saiz yang lebih sekali ganda besar daripada hamster yang dijual di pasaran. Keadaan itu memudahkan ia dipegang.

"Selain itu, Syrian hamster juga mempunyai rupa yang agak unik dan comel. Sama seperti hamster lain, ia mudah untuk dijaga kerana tidak agresif dan boleh dibelai dengan penuh kasih sayang.

"Dari segi kos makanan dan penjagaan juga tidaklah terlalu tinggi, saya hanya menghabiskan sekitar RM500 sebulan. Kos ini meliputi makanan rutin, snek, makanan tambahan dan juga habuk kayu (wood shaving).

Telatah hamster yang boleh menyembunyikan makanan di dalam mulut juga perlu diperhatikan supaya pemilik dapat mengawal kuantiti makanan," katanya.

MEMERIKSA keadaan ibu Syrian hamster yang menunggu masa untuk melahirkan anak.
MEMERIKSA keadaan ibu Syrian hamster yang menunggu masa untuk melahirkan anak.

KEADAAN syrian hamster yang bunting.
KEADAAN syrian hamster yang bunting.

Tambahnya, bermula daripada lapan ekor, semua hamster betina sudah beranak pinak. Seingatnya, dia sudah menjual beribu-ribu ekor sepanjang 10 tahun berkecimpung dalam dunia hamster.

"Kini saya hanya mempunyai 20 ekor sahaja Syrian hamster terdiri daripada tiga jantan dan 17 betina. Hamster ini jenis mudah membiak dan jumlah anak yang dilahirkan juga agak banyak.

"Apabila hamster sudah mencapai usia matang sesuai untuk bunting, sebagai pemilik saya perlu memastikan ketika ia mahu melahirkan perlu diasingkan daripada kumpulan hamster yang lain kerana ibu hamster mahukan privasi.

"Selalunya saya akan asingkan dalam bekas yang tertutup dan gelap. Saya akan lebihkan makanan dan air minuman bagi mengelakkan hamster diganggu dan rasa terancam" katanya.

Katanya, ibu hamster akan memakan anaknya sendiri jika privasinya terganggu begitu juga jika diletakkan bersama kumpulan yang lain, hamster jantan akan membunuh anak-anaknya.

Dari segi tempat jagaan, katanya,Syrian hamster memerlukan kawasan yang bersih, habuk kayu akan digunakan sebagai 'alas' di dalam rumahnya supaya dapat menyerap air kencing. Habuk kayu ini perlu dibersihkan dua hari sekali supaya persekitaran rumah hamster kering dan selesa.

"Jika tidak dibersihkan, air kencing dan najis yang berada di dalamnya boleh menyebabkan kulat selain boleh mendatangkan masalah kesihatan.

"Untuk memandikannya pula, saya menggunakan semburan organik yang tidak perlu dibilas dan hanya dilap sahaja selepas disembur kerana penyembur ini juga mempunyai fungsi anti bakteria" katanya.

Telatah yang mencuit hati, penyelenggaraan dengan kos yang rendah dan sifat jinak yang tidak menggigit pastinya akan menyebabkan Syrian hamster terus menjadi salah satu daripada haiwan kesayangan yang diminati.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 7:00 AM