Hafiz Ithnin


BAGI gadis berusia 20 tahun ini, ular bukanlah sesuatu yang menggelikan untuk dijadikan haiwan peliharaan kesayangan kerana reptilia itu mempunyai keunikan dan kecomelan tersendiri.

Malah, bagi pemilik nama Marsya Hannani Azman yang hampir setahun membela ular jenis Ball Python itu, binatang kesayangannya kini tidak boleh berenggang dengannya.

Ketika ditanya tidakkah takut membela haiwan yang sudah sinonim dengan sifat buasnya untuk mematuk dan membelit beliau berkata, sebelum memiliki ular betina itu dia sudah membuat kajian.

MELINGKAR ditangan menjadi tanda Ball Python mula serasi dengan tuannya.
MELINGKAR ditangan menjadi tanda Ball Python mula serasi dengan tuannya.

Menurutnya, dia memahami mengenai sikap dan tingkah laku reptilia itu kerana Ball Python meskipun dalam kategori ular karnivor tetapi mempunyai kes yang minimum membabitkan kejadian ia menyerang manusia.

"Saya juga bekerja di zoo haiwan peliharaan dan ia banyak membantu untuk mengetahui sikap atau tingkah laku haiwan yang mungkin dilihat ganas tetapi sebenarnya mereka begitu manja seperti ular kepunyaan saya ini.

"Perkara paling penting ialah kita perlu membuat kajian terlebih dahulu mengenai sikap sesuatu haiwan itu sebelum menjadikannya sebagai haiwan kesayangan peliharaan. Malah, haiwan seperti ini juga memerlukan lesen untuk memilikinya," katanya.

IBU Marsya, Siti Salwa memberanikan diri menerima Luna.
IBU Marsya, Siti Salwa memberanikan diri menerima Luna.

Anak tunggal kepada pasangan Siti Salwa Arshad dan Azman Mohd Saad itu berkata, dia mendapat binatang kesayangan peliharaannya yang diberikan nama Luna daripada seorang rakan.

"Saya sudah lama berkeinginan untuk mempunyai seekor ular Ball Python tetapi harganya agak mahal. Tidak sangka ada kawan yang menghadiahkan kepada saya dan membuatkan lesennya sekali.

"Jadi, sudah tentu agak teruja kerana ia adalah antara haiwan kesayangan peliharaan yang saya sukai dan setiap hari pasti meluangkan masa untuk bermain dengannya," katanya.

ULAR Ball Python tidak boleh berenggang dengan pemilik, perlu dibelai setiap hari.
ULAR Ball Python tidak boleh berenggang dengan pemilik, perlu dibelai setiap hari.

Katanya, ketika memiliki haiwan itu dia tidak menunjukkan kepada ibu bapanya kerana tahu kedua-duanya mempunyai rasa geli kepada haiwan berkenaan.

"Selepas dua hari, baru saya bawa Luna keluar dari bilik dan menunjukkan kepada ayah dan ibu. Sehingga sekarang pun, mereka berdua masih dalam proses untuk menerima kehadiran Luna dalam keluarga kami.

"Namun, Luna ini sifatnya pemalu sebenarnya kerana jika merasakan dirinya terancam, dia akan serta merta membentuk bulat dan tidak memberi tindak balas. Jadi, sebagai pemilik saya perlu sentiasa bermain dengannya untuk dia mengenali saya," katanya.

PEMILIK Ball Python perlu mendapatkan lesen untuk membela haiwan berkenaan.
PEMILIK Ball Python perlu mendapatkan lesen untuk membela haiwan berkenaan.

Marsya berkata, Luna diberikan makanan tikus putih sebanyak tiga ekor dalam tempoh dua minggu sama ada hidup atau sejuk beku yang dibeli di pasaran.

"Dari segi penjagaan, Luna tidak begitu cerewet kerana hanya seminggu sekali sahaja perlu dimandikan dengan meletakkannya di dalam bekas berisi air.

"Selain itu, setiap hari paling tidak sepuluh minit saya perlu bermain dengannya kerana ular ini tidak mampu mendengar, jadi dengan pancaindera lain, dia dapat mengetahui tuannya," katanya.

LUNA mandi di dalam bekas yang diisi dengan air yang cetek.
LUNA mandi di dalam bekas yang diisi dengan air yang cetek.

Katanya, dia banyak mendapatkan maklumat mengenai penjagaan dan tingkah laku haiwan itu menerusi rakan-rakan yang mempunyai minat sama menjadikan haiwan itu sebagai binatang kesayangan.

Tambahnya, Luna aktif pada sebelah malam dan selalunya pada sebelah siang ia lebih suka menyendiri. Malah, tempat gelap sudah pasti menjadi pilihannya untuk berehat.

"Setakat ini, untuk bermain dengan Luna saya memilih hanya di dalam rumah sahaja terutama di dalam bilik kerana ibu dan ayah masih lagi dalam peringkat untuk menerima kehadirannya.

"Sekarang ini, kalau sekadar pegang ibu dan ayah sudah boleh tetapi untuk membiarkan Luna melingkar di tangan masih lagi tidak," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 6:59 AM