CARA mengendalikan labah-labah.
CARA mengendalikan labah-labah.
Nurul Husna Mahmud


SEBUT sahaja serangga banyak kaki seperti kala jengking, kutu, lipan dan labah-labah yang dikategorikan dalam keluarga araknida, pastinya mengundang rasa geli dan fobia bagi sesetengah orang.

Namun, tidak bagi Siti Nordiana Roslin, 29, apabila memelihara labah-labah tarantula dari spesies Chaco Golden Knee sebagai haiwan kesayangan.

Kata Siti Nordiana, biasanya digeruni ramai kerana ia antara jenis labah-labah berbisa, namun mempunyai tarikan tersendiri terutama karakter pada badan baik warna dan tekstur berbulu serta taringnya.

"Tarantula umpamanya, menarik perhatian untuk dipelihara kerana kepelbagainya warna. Saya bela spesies Chaco Golden Knee yang dikatakan spesies yang tidak begitu agresif dan sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak untuk memelihara labah-labah berkenaan.

"Bagi spesies ini juga tiada permit dan ia banyak dijual oleh pembiak baka dengan kadar antara RM50 hingga RM200 bergantung kepada saiz, rupa dan usia haiwan terbabit.

"Spesies Chaco Golden Knee biasanya berwarna perang keemasan dan sedikit berbulu.

"Bulu ini boleh gugur atau tercabut dan memasuki saluran pernafasan selain jika terkena kulit boleh menyebabkan seseorang itu mengalami alahan atau gatal-gatal," katanya.

LEMBAPKAN cocopeat untuk bantu labah-labah terbabit seperti berada di tempat semula jadinya.
LEMBAPKAN cocopeat untuk bantu labah-labah terbabit seperti berada di tempat semula jadinya.

Tambah Siti Nordiana, spesies labah-labah tarantula semuanya berbisa dan itu sebenarnya melindungi diri mereka daripada diserang pemangsa apabila hidup dalam persekitaran semula jadi.

"Tarantula adalah kategori haiwan eksotik bermaksud secara mudahnya ia tahan lasak dan mudah dijaga. Makanan untuk labah-labah ini biasanya cengkerik atau ulat burung bagi bantu dapatkan protein mencukupi.

"Untuk pelihara, bekas plastik atau akuarium bertutup penuh lebih sesuai sebagai sangkar dan tebuk lubang udara untuk membekalkan oksigen. Boleh tambahkan dengan cocopeat, rumput, ranting atau batu untuk haiwan ini menyorok seperti mana tabiatnya di habitat semula jadi," katanya.

Tambah Siti Nordiana, labah-labah ini boleh bertahan tanpa makanan dalam tempoh tiga hari hingga seminggu, tetapi masih perlukan bekalan air.

TARANTULA telentang menandakan salin kulit.
TARANTULA telentang menandakan salin kulit.

"Tarantula boleh bertahan tanpa makanan untuk tempoh tertentu, tetapi perlukan air mencukupi. Kalau pemilik hendak pergi bercuti, tinggalkan bekalan air mencukupi.

"Selain itu, pastikan sangkar menggunakan penutup berat atau tidak boleh dibuka dengan mudah bagi mengelak ia terlepas. Satu lagi rutin perlu diketahui pemilik ialah tempoh labah-labah ini bersalin kulit.

"Tempoh bersalin kulit labah-labah sangat sensitif dan biasanya ia tidak akan makan. Ketika bersalin kulit, tarantula akan terbalikkan badan," katanya.

Meskipun labah-labah dipelihara untuk diamati, namun ada ketika pemilik boleh 'bonding' bagi memastikan haiwan itu biasa dengan kehadiran tuannya.

PERLU dikendalikan dengan baik.
PERLU dikendalikan dengan baik.

"Pada masa sama, tarantula sangat sensitif dengan kejutan dari pergerakan secara tiba-tiba, getaran yang kuat dan perubahan pencahayaan. Jadi, untuk spesies ini sebaiknya kendalikan dengan berhati-hati termasuk ketika memegang atau bermain. Pegang dengan lembut atau dari belakang dengan perlahan-lahan," kongsinya.

Minat Siti Nordiana itu mendapat restu suami tercinta, Muhammad Azni Che Hashim.

"Suami tidak minat, tetapi tidak menghalang saya memiliki labah-labah berkenaan sebagai haiwan peliharaan. Minat juga dapat dilihat pada anak dan saya baru dedah sedikit demi sedikit kepadanya supaya terbiasa dengan tarantula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 6:35 AM