Nurul Husna Mahmud


Reputasi tarantula digeruni kerana semua spesiesnya adalah berbisa dan ada lebih 900 spesies labah-labah itu direkodkan di serata dunia.

Menyedari hakikat ia antara serangga berbisa di dunia, itu tidak menghalang pasangan adik-beradik, Abdul Muiz Shafruddin, 40, dan adik, Abdul Barri, 25, memelihara spesies labah-labah eksotik terbabit.

Kata Abdul Muiz, dia teruja melihat keletah serangga itu yang dilihat memiliki kebijaksanaan tersendiri.

"Saya pelihara

labah-labah ini apabila terpengaruh dengan adik, Abdul Badri yang mula terlebih dahulu pelihara tarantula.

"Saya mula pelihara pada Jun tahun lalu iaitu selepas raya dan memiliki kira-kira 18 tarantula.

"15 ekor daripadanya adalah spesies yang berlainan dan tiga lagi adalah daripada spesies sama. Semua ini adalah spesies import yang didapati dari pembekal atau pengimport khas.

"Membuatkan saya tertarik walaupun gerun dengan bisa atau bimbang disengat ialah apabila labah-labah ini uniknya antara serangga pernah dinyatakan dalam al-Quran dan penceritaan nabi," katanya.

Tambah Abdul Muiz, keunikan tarantula yang meralitkan beliau setiap kali memerhati labah-labah kesayangannya itu semestinya karakter dan kelainan setiap spesies yang ada.

"Ciri-ciri seperti kelainan pada saiz, warna dan reka bentuk sarang itu membuatkan saya terpesona untuk mengumpul setiap spesies.

ABDUL Muiz (kiri) dan Abdul Barri teruja dengan tarantula. FOTO  Aswadi Alias
ABDUL Muiz (kiri) dan Abdul Barri teruja dengan tarantula. FOTO Aswadi Alias

"Cabarannya tidak mudah untuk dapat spesies yang berlainan kerana ia serangga eksotik. Hendak dapat yang unik dan cantik, perlu tunggu berbulan-bulan.

"Antara yang ada ialah Green Bottle Blue, ini pada mata saya cantik dan unik sarangnya seperti terowong coraknya.

"Begitu juga Orange Baboon Tarantula dan Ceratogyrus darlingi dari Boswana, Afrika yang sangat agresif.

"Saya banyak belajar mengenai kehidupan setiap tarantula itu berbeza mengikut habitat," katanya.

Uniknya bukan hanya dikurniakan minat terhadap haiwan dan serangga, Abdul Muiz juga memiliki bakat merias akuarium atau 'eutopia' labah-labahnya mengikut habitat asal.

"Pada saya apa juga minat seseorang itu perlu disusuli dengan pengetahuan dan perlu ada pembacaan supaya setiap haiwan atau serangga peliharaan dapat hidup lebih lama.

"Jangka hayat tarantula lebih panjang dan penjagaan baik boleh melangkaui lima hingga 15 tahun," katanya.

Sementara itu, kata Abdul Barri, dia yang mempunyai minat mendalam terhadap haiwan atau serangga eksotik melihat tarantula antara spesies perlu dimiliki.

"Tarantula antara serangga eksotik tahan lasak dan kalau sesuai dengan suhu dan kelembapan persekitaran bagi spesies tertentu, ia mudah hidup.

"Tarantula ni semua spesies berbisa, tetapi masih ada perbezaan cara hidup mengikut habitat asal atau dari negara mana.

SARANG labah-labah tarantula. FOTO  Aswadi Alias
SARANG labah-labah tarantula. FOTO Aswadi Alias

"Ada spesies yang hidup bawah batu atau tempat lebih kering dan ada juga perlukan kelembapan tinggi.

"Pemilik perlu belajar dan tahu cara mengendalikan tarantula supaya tidak mendatangkan risiko atau masalah kepada pemilik," katanya.

Pengamatan Abdul Barri, tarantula ada sisi 'lembut' iaitu ia tidak boleh terkejut dan perlu dikendali dengan lembut.

"Sepanjang saya kendalikan tarantula sejak 2018, tidak ada pengalaman disengat atau terkena bisa.

"Sebenarnya bulu halus pada badannya jauh lebih berbahaya kerana tidak semua orang boleh toleransi apabila ia memasuki rongga seperti hidung atau mulut," katanya.

AKUARIUM atau kotak menyimpan labah-labah mengikut habitat asal. FOTO  Aswadi Alias
AKUARIUM atau kotak menyimpan labah-labah mengikut habitat asal. FOTO Aswadi Alias

Tambah Abdul Barri, penjagaan tarantula juga mudah dan kos bulanan termasuk diet untuk serangga itu juga rendah.

"Tarantula dewasa biasanya makan cengkerik atau serangga kecil, sementara saiz anak pula biasanya ulat burung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 7:01 AM
ANTARA spesies tarantula dikumpul Abdul Muiz. FOTO  Aswadi Alias
ANTARA spesies tarantula dikumpul Abdul Muiz. FOTO Aswadi Alias