TARANTULA boleh mengenali tuannya.
TARANTULA boleh mengenali tuannya.
Hafiz Ithnin


LABAH-labah tarantula antara yang terkenal kerana ia mempunyai saiz yang besar dan mampu mengundang rasa geli kepada mereka yang 'alah' dengan bentuknya.

Tarantula tergolong sebagai labah-labah yang besar dan berada dalam keluarga Theraphosidae yang dipercayai mempunyai kira-kira 900 spesies.

Semua tarantula mampu mengeluarkan sutera, sama ada ia spesies arbor (berkenaan pokok) atau daratan.

Serangga itu memakan serangga dan artropod lain, menggunakan serang hendap sebagai kaedah utama ketika memburu.

Tarantula juga terbesar mampu membunuh haiwan sebesar cicak, tikus atau burung.

Tarantula juga boleh ditemui di kawasan tropika dan padang pasir di seluruh dunia.

Bergantung kepada spesies, panjang badan tarantula berukuran di antara 0.02 hingga 0.10 meter (satu hingga empat inci). Jangka hayat tarantula pula bagi betina dikatakan mampu hidup sehingga 30 tahun dan jantan lebih pendek jangka hayatnya iaitu tiga hingga 10 tahun.

Meskipun tarantula dilihat sebagai serangga yang merbahaya tetapi sebenarnya terdapat peminat menjadikannya sebagai haiwan belaan kesayangan.

Antaranya Woo Nina Grace, yang membela tarantula dalam spesies Brazilian Salmon Pink sejak 2018 dengan membelinya daripada seorang pembiak tempatan.

MELIHAT tarantula sebagai haiwan perliharaan yang mempunyai keunikan tersendiri.
MELIHAT tarantula sebagai haiwan perliharaan yang mempunyai keunikan tersendiri.

Wanita berusia 24 tahun itu berkata, haiwan kesayangannya diberi nama Aragog. Ketika membelinya masih kecil yang mempunyai saiz sekitar 0.02 meter (satu inci) sahaja.

Jelasnya, tarantula betina yang dimilikinya ketika ini sudah membesar sehingga 0.20 meter (lapan inci) dan amat manja dengannya.

NINA bermain dengan Aragog.
NINA bermain dengan Aragog.

Ditanya mengenai tarantula yang sering dikatakan sebagai serangga yang boleh membunuh manusia, katanya, Aragog tergolong dalam New World Tarantula yang tidak mengancam nyawa manusia.

"New World Tarantula ini datang dari negara di benua Amerika Utara dan Selatan termasuk di rantau Amerika Tengah.

"Bagi Old World Tarantula pula berasal dari benua Asia, Afrika, Eropah dan Australia yang lebih bersifat agresif kepada manusia. Jadi tarantula dimiliki saya ini adalah dari Brazil iaitu dalam kumpulan New World Tarantula," katanya.

Jelasnya, Aragog mempunyai sifat jinak yang mungkin sudah mengenali tuan yang membelanya sejak dari kecil.

KALSIUM dan serangga antara menu yang diberikan kepada Aragog.
KALSIUM dan serangga antara menu yang diberikan kepada Aragog.

Katanya, membela tarantula tidak begitu sukar kerana serangga itu bukan dalam kalangan haiwan peliharaan yang perlu diberi perhatian setiap masa.

"Namun, setiap hari pasti saya akan bermain dengannya dengan membiarkan dia berjalan di atas tangan. Dalam masa sama, seperti haiwan peliharaan yang lain, kita tidak boleh membuatkannya tertekan.

"Saya boleh melihat sisi bersedia Aragog untuk bermain apabila dia tidak berjalan dengan laju iaitu cuba menjauhkan diri dan tidak menggeselkan kakinya di belakang iaitu menunjukkan dia terasa terancam," katanya.

Nina berkata, dari segi makanan Aragog tidak begitu sukar kerana tarantula miliknya itu hanya makan sekali dalam tempoh tiga hari.

ARAGOG disuapkan cengkerik sebagai makanannya.
ARAGOG disuapkan cengkerik sebagai makanannya.

"Antara menu yang menjadi makanan Aragog ialah cengkerik, lipas dan ulat. Dalam enam bulan sekali saya akan memberinya makan anak tikus sejuk beku.

"Selain itu, Aragog juga diberi makanan tambahan lain yang boleh menjadikan dirinya lebih sihat iaitu kalsium khas untuk serangga," katanya.

Nina berkata, tarantula dimilikinya tidak memerlukan lesen dan Aragog menghuni di dalam sebuah balang khas yang mempunyai serbuk kayu.

"Tempat tinggalnya juga tidak perlu dibersihkan dengan kerap. Kadang-kala saya akan menyembur air di dalam balang itu supaya persekitarannya tidak terlalu kering," katanya.

Nina berkata, jika terdapat mereka yang berminat membela tarantula, perlu mempunyai pengetahuan terutama spesies yang ingin dimiliki supaya lebih bersedia dari segi penjagaan dan juga keselamatan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 7:01 AM