HAMSTER, haiwan berbulu jinak yang digemari ramai. - FOTO Google
HAMSTER, haiwan berbulu jinak yang digemari ramai. - FOTO Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus


HAMSTER adalah haiwan berbulu kecil yang jinak sering menjadi pilihan untuk dibela di negara ini.

Ramai yang tertarik dengan kecomelan aksinya, namun seperti haiwan belaan lain, hamster juga memerlukan penjagaan rapi oleh pemiliknya.

Menjaga haiwan itu juga memerlukan kos yang agak tinggi kerana ia bukan sahaja memerlukan makanan atau vitamin, tetapi juga habuk kayu untuk tempat tidur.

Ia juga tidak boleh dilepas bebas dalam rumah dan ahli zoologi mengesyorkan penggunaan sangkar atau akuarium besar untuk membela hamster selain elakkan penggunaan bekas kadbod, plastik atau balang.

Pastikan sangkar atau bekas untuk menempatkan hamster sekurang-kurangnya seluas 60 sentimeter (sm) panjang dan 40sm lebar bagi membolehkan ia dapat bergerak bebas.

'Rumah' hamster itu juga perlu dilengkapi dengan mangkuk minuman dan sediakan juga botol khas dengan dispenser beserta bola di hujungnya.

Ketika hamster ingin minum, ia menekan bola dengan lidahnya dan dari situ air akan menitis.

Selain itu, hamster juga adalah haiwan yang aktif, jadi rumah mereka mesti dilengkapi dengan roda larian.

Simulator itu ada banyak dijual di kedai haiwan peliharaan, tapi sebaiknya utamakan produk yang diperbuat daripada plastik padat.

HAIWAN yang aktif. - FOTO Google
HAIWAN yang aktif. - FOTO Google

KEKURANGAN makanan, air atau rumah yang kotor boleh memberi tekanan kepada hamster. - FOTO Google
KEKURANGAN makanan, air atau rumah yang kotor boleh memberi tekanan kepada hamster. - FOTO Google

Sekiranya anda membeli roda dengan batang besi, sarungkannya dengan kadbod untuk mengelakkan kecederaan pada kuku hamster.

Lebih penting, letakkan sangkar di sudut yang tenang dan elakkan sinaran matahari secara langsung, jauh dari jangkauan haiwan belaan lain dan kanak-kanak.

Untuk makanan pula, hamster tidak makan berlebihan, tetapi perlu diingat bahawa kena sentiasa ada makanan disediakan di bekasnya.

Haiwan itu juga boleh diberi makan buah seperti pisang, epal, pir atau anggur, namun perlu dibuang tangkai atau bijinya terlebih dahulu.

Untuk bekalan protein pula, hamster boleh diberikan keju, daging, ikan atau ayam rebus dan jangan sesekali berikan daging mentah.

Dalam pada itu, hamster juga adalah haiwan yang dikatakan cepat mengalami tekanan, justeru ia perlu dijaga dengan sebaiknya.

Kekurangan makanan, air atau rumahnya kotor antara pencetus tekanan kepada hamster.

Untuk itu, anda disarankan untuk tidak mengabaikan penjagaan asas rumah haiwan berkenaan dan elakkan daripada mengubah rutin harian atau memindahkan ke sangkar lain.

Sementara itu, hamster juga adalah sejenis tikus yang tidak sukakan air. Jika ingin membersihkannya, pastikan air tidak masuk ke mata, telinga dan hidung haiwan berkenaan.

Selepas mandi, ia perlu dibungkus dengan kain hangat dan pastikan hamster kering sepenuhnya sebelum dimasukkan kembali ke rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 6:47 AM