Muhammad Saufi Hassan


DUNIA teknologi hari ini mempengaruhi semua bidang serta segmen, malah tidak ketinggalan adalah pembelajaran menggunakan alat bantu yang diupayakan oleh teknologi terkini.

Mungkin untuk bidang pendidikan moden, teknologi ini semakin meluas digunakan, namun bagi bidang pengajian agama, keupayaan teknologi ini masih terhad dan kebanyakan institusi masih bergantung kaedah konvensional iaitu rujukan buku atau kitab secara fizikal.

Mendepani perkara berkenaan, Yayasan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta) mengorak langkah ke arah adaptasi teknologi dengan melaksanakan langkah pemodenan pengajaran mengikut teknologi semasa.

Sebagai langkah awal ke arah visi berkenaan, satu Program Multimedia Institusi Tahfiz Madani dilancarkan dengan peruntukan dana berjumlah RM250,000 digunakan untuk agihan 'laptop', skrin layar, projektor dan pelbagai alatan bantuan pengajaran lain.

Pengarah Jawatankuasa Pembangunan dan Fasiliti Yayasan Pinta, Mohd Dailami Che Age berkata, boleh dikatakan institusi pengajian agama ini masih menggunakan konsep pengajian konvensional iaitu berdasarkan buku atau kitab saja tanpa bantuan alat pengajaran lain.

Beliau yang juga Bendahari Kehormat Pinta berkata, pihaknya melihat bahawa wujud keperluan yang agak mendesak untuk adaptasi teknologi ini mula digunakan kerana ia mampu memberi pendedahan awal.

"Kalau kita lihat pula dalam aspek pengajian, sebenarnya sudah banyak kitab besar dalam pengajian Islam yang merangkumi pelbagai disiplin ilmu mempunyai versi digital yang boleh dimuat turun.

"Pada masa sama, kitab versi digital ini boleh disimpan dengan hanya menggunakan satu peranti, malah ia bersifat interaktif iaitu pengguna boleh menulis nota dalam kitab digital ini dan melakukan rujukan mudah menerusi tab carian saja.

DUNIA teknologi hari ini mempengaruhi semua bidang serta segmen, malah tidak ketinggalan adalah pembelajaran.
DUNIA teknologi hari ini mempengaruhi semua bidang serta segmen, malah tidak ketinggalan adalah pembelajaran.

"Ini antara yang mendorong kami (Pinta) untuk sama-sama melakukan pemodenan dalam aspek bentuk pengajaran supaya pelajar sentiasa mengikuti perkembangan teknologi semasa," katanya.

Mohd Dailami berkata, objektif program ini antara lain meningkatkan keupayaan penggunaan teknologi digital serta elektronik dalam institusi tahfiz selaras dengan perkembangan teknologi moden.

Beliau berkata, langkah ini juga akan memastikan sesi pengajaran serta pembelajaran berjalan lancar dan baik dengan adanya bantuan teknologi, sekali gus meningkatkan akses kepada sumber pembelajaran yang lebih komprehensif.

Menurutnya, ia juga akan meningkatkan kecekapan pengurusan institusi tahfiz apabila semuanya dipantau menerusi sistem yang sistematik termasuk akses kepada keputusan ujian atau peperiksaan boleh dilakukan secara digital.

"Kami juga mempersiapkan ketersediaan institusi tahfiz di negara ini bagi penggunaan sistem 'Pinta Management'

dengan peralatan yang sesuai serta kemahiran bagi melaksanakan sistem elektronik dalam pengajaran dan pembelajaran.

PINTA mengorak langkah ke arah adaptasi teknologi menerusi Program Multimedia Institusi Tahfiz Madani.
PINTA mengorak langkah ke arah adaptasi teknologi menerusi Program Multimedia Institusi Tahfiz Madani.

"Menerusi pengenalan sistem itu, ibu bapa boleh melihat prestasi hafazan terkini, kehadiran pelajar, senarai terkini bayaran yuran, keputusan peperiksaan dan beberapa kefungsian lain.

"Ini adalah antara progran jangka pendek yang kami lihat sesuai serta relevan dengan perubahan teknologi semasa dan pada masa sama, kami juga perlu memikirkan mengenai Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang mempengaruhi semua pihak termasuk pelajar bidang agama.

"Untuk program jangka panjang, kami merancang membina jaringan kerjasama dengan syarikat ketiga bagi sistem solar, sekali gus ini diharapkan dapat mengurangkan bebanan kos elektrik bulanan di mana-mana institusi tahfiz," katanya.

Menurutnya, semua langkah berkenaan bagi menjamin kaedah pembelajaran di institusi tahfiz bersifat lestari serta relevan tidak mengira perubahan zaman.

Katanya, teknologi ini mempunyai kebaikan dan ia memberi manfaat secara bersama jika digunakan untuk tujuan positif dan begitu juga sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 7:00 AM