PERANTI realme 11 Pro+ 5G menggunakan sensor 200MP.
PERANTI realme 11 Pro+ 5G menggunakan sensor 200MP.
Muhammad Saufi Hassan


Apabila memperkatakan berkenaan peranti pintar atau kecenderungan pengguna untuk membeli peranti baharu, titik penentuannya adalah keupayaan kamera bersama-sama dengan padanan spesifikasi terkini.

Namun, paling menjadi keutamaan penggunaan adalah rekaan yang elegan bersama fungsi kamera terbaik iaitu mampu untuk merakam gambar khususnya ketika pencahayaan kurang.

Untuk itu, penulis ingin mencadangkan pengguna, peranti baharu keluaran realme iaitu realme 11 Pro+ 5G yang dilengkapi dengan sensor kamera 200 megapiksel (MP), sekali gus menjadikan imej rakaman lebih terperinci.

Paling mencuri tumpuan adalah rekaan bahagian belakang yang begitu menarik dan ia memberi kelainan berbanding peranti lain.

Menerusi peranti itu juga, ia menampilkan konsep reka bentuk mewah yang dicipta bersama bekas pereka cetakan serta tekstil Gucci, Matteo Menotto.

Menyentuh aspek spesifikasinya, peranti ini menggunakan sensor 200MP iaitu peranti pertama yang menggunakan sensor berkenaan dengan keupayaan SuperZoom bersama 'Lossless Zoom.'

Peranti ini juga menampilkan cip Samsung ISOCELL HP3 SuperZoom yang sudah dinaik taraf dengan 1/1.4 inci sensor, sekali gus memberi imej rakaman lebih baik daripada generasi sebelumnya.

Mod kamera pula dilengkapi dengan SuperOIS, Super NightScape, Moon Mode dan Starry Mode untuk memberikan pengguna lebih kebebasan tatkala menggunakan kamera peranti berkenaan.

Rekaan melengkung di bahagian tepi juga bukan saja menjadikan peranti itu ergonomik untuk dipegang, malah memberi nilai tambah kepada peranti itu sejajar dengan kelas premium.

Realme juga bijak menggunakan padanan pengecas pantas 100W SuperVOOC bersama kapasiti bateri 5,000mAh dan membolehkan peranti kekal bertahan sepanjang hari tanpa perlu pengguna mencari punca kuasa untuk melakukan pengecas.

Tempoh pengecas juga lebih pendek dan berdasarkan ujian penulis, bateri daripada kosong peratus sehingga 60 peratus hanya memerlukan tempoh 15 minit dan ia memberi kebebasan maksimum kepada pengguna.

Peranti ini menggunakan cip pemproses Dimensity 7050 5G bersama-sama dengan memori (RAM) 12GB ditambah dengan 4GB RAM maya serta storan 512GB.

Ujian prestasi peranti ini terhadap pengalaman permainan juga adalah sangat baik apabila tetapan grafik 'high dan ultra' boleh dimainkan tanpa sebarang masalah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 6:30 AM