IBU bapa disaran menggunakan kawalan tempoh masa skrin untuk peranti pintar anak.
IBU bapa disaran menggunakan kawalan tempoh masa skrin untuk peranti pintar anak.
Oleh Muhammad Saufi Hassan dan Nor’Asyikin Mat Hayin

Kuala Lumpur: Kanak-kanak di negara ini terdedah dengan masalah ketagihan peranti pintar apabila statistik kepenggunaan internet membabitkan golongan itu meningkat secara mendadak.

Berdasarkan kepada satu dapatan Kaji Selidik Kepenggunaan Internet Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 2020 memperlihatkan peratusan peningkatan kanak-kanak serta remaja berusia lima hingga 17 tahun daripada 18.4 peratus pada 2016 kepada 47 peratus pada 2020.

Paling membimbangkan adalah hanya 34.4 peratus ibu bapa saja yang menggunakan kawalan peranti atau parental control sebagai penghalang kanak-kanak melayari kandungan tidak sepatutnya.

Pada masa sama, satu kajian dilaksanakan sekumpulan penyelidik daripada Universiti McGill, Kanada mendapati Malaysia menduduki tempat ketiga di dunia berhubung masalah ketagihan peranti pintar di bawah China dan Arab Saudi.

Mendedahkan perkara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia Siraj Jalil menyatakan tempoh penggunaan internet melebihi lapan jam sehari juga meningkat kepada 11.5 peratus pada 2020 berbanding 8.1 peratus saja pada 2018.

"Bayangkan tempoh kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa melayari internet melebihi 18 jam sehari iaitu menghampiri tempoh seharian 24 jam.

"Pengguna internet kita pada 2020 sebanyak 88.7 peratus, jika dilihat daripada satu aspek, ia bagus apabila kadar penetrasi digital tinggi namun kita juga perlu lihat aspek negatif lain.

"Berdasarkan perangkaan, kadar penetrasi internet akan meningkat sehingga lebih 89 peratus menjelang 2025 manakala jika kita lihat kepada purata penggunaan kuota data turut meningkat," katanya.

Siraj berkata, kadar purata kuota data pada suku pertama tahun lalu 25.7GB berbanding suku pertama 2019 hanya 16GB saja dan ia dilihat sejajar dengan peningkatan tempoh pengguna di ruang internet.

Menurutnya, ramai ibu bapa tidak menggunakan kawalan tempoh masa skrin anak mereka jadi ia umpama memberi senjata kepada golongan ini.

"Saya boleh ringkaskan gajet ini sebagai senjata, ada kala ia bawa kepada aspek positif, ada ketika ia memberi keburukan jadi ibu bapa perlu memainkan peranan.

"Memang kita perlu akui, hampir semua maklumat berada di ruang internet dan boleh diakses pada bila-bila masa, namun bagaimana jika tiada kawalan.

"Mungkin kanak-kanak ini mengakses kandungan tidak sepatutnya seperti pornografi dan sebagainya, ini yang kita bimbangkan," katanya.

Malaysia ketiga paling ketagih

Kuala Lumpur: Mengejutkan apabila kajian Computers in Human Behavior melaporkan Malaysia di tempat ketiga dalam senarai ketagihan telefon pintar.

Ini isyarat kurang baik kerana menunjukkan rakyat Malaysia menghadapi satu lagi 'penyakit', selain penyakit berkaitan kesihatan.

Mohd Jefri Abd Rashid, 24, berkata, pergantungan hidup kepada telefon pintar pada masa kini tidak dapat dielakkan.

"Ia sudah menjadi satu keperluan penting kerana dapat memudahkan urusan harian.

"Namun, pengguna perlu bijak memanfaatkan teknologi ini untuk kebaikan," katanya.

"Saya peniaga kecil-kecilan dan menggunakan media sosial untuk membuat pengiklanan jualan.

"Malah turut menggunakan Facebook Live untuk melariskan dan meningkatkan produk jualan.

"Jadinya, saya gunakan telefon pintar bagi tujuan berkenaan kerana ia lebih praktikal dan memudahkan yang boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Oleh itu, saya tidak perlu bawa komputer riba," katanya.

Katanya, selain itu dia aktif melakukan penstriman permainan video kerana aktiviti ini membantu menjana pendapatan.

Pekerja swasta Nor Farhana Mohamad, 30, berkata, golongan bekerja juga terhimpit dengan masalah ketagihan telefon pintar.

"Mereka perlu bijak urus masalah ketagihan telefon pintar kerana ia boleh menjejaskan pengurusan masa semasa bekerja.

"Tugasan tidak dapat diselesaikan pada waktunya atau bekerja lebih lewat.

"Ini kerana mungkin banyak masa dihabiskan dengan berbual di WhatsApp atau bermain permainan video," katanya.

Katanya, mereka boleh mengubah tabiat ini dengan cara menetapkan matlamat bila boleh menggunakan telefon pintar.

"Sebagai contoh menggunakan telefon pintar semasa waktu rehat dan selepas pulang ke rumah.

"Semasa di pejabat, beri tumpuan sepenuhnya kepada tugasan dan seterusnya dapat selesaikan kerja mengikut masa ditetapkan," katanya.

Luqmanulhakim Sharif, 21, berkata, sebagai penuntut institusi pengajian tinggi, penggunaan telefon pintar adalah penting selain komputer riba untuk tujuan pembelajaran.

"Ia memudahkan saya mendapatkan maklumat bagi menyiapkan tugasan. Lebih-lebih lagi dalam era pandemik Covid-19, kebergantungan teknologi ini sangat tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 12:00 PM