PEMAIN utama syarikat telekomunikasi diminta memainkan peranan untuk pelaksanaan penuh.
PEMAIN utama syarikat telekomunikasi diminta memainkan peranan untuk pelaksanaan penuh.
Muhammad Saufi Hassan


Trend teknologi berasaskan kepada jaringan 5G masih menjadi fokus ketika Persidangan Mudahalih Sedunia (MWC) di Barcelona, Sepanyol, minggu lalu.

Kebanyakan teknologi yang dipamerkan termasuk penggunaan robot automasi perlu disokong oleh jaringan berkenaan untuk memastikan tiada kelengahan dalam sebarang penerimaan serta penghantaran maklumat.

Bagi konteks di negara ini, pelaksanaan akan mengubah landskap kepenggunaan, industri dan bentuk ekonomi sesebuah negara.

Negara ini tidak terkecuali daripada pelaksanaan sistem telekomunikasi termoden berkenaan apabila kerajaan sedang giat membangunkan infrastruktur asas untuk menyokong sistem berkenaan.

Jaringan telekomunikasi 5G ini bukan saja menawarkan kelajuan yang tinggi untuk pengguna namun ia menjadi 'enabler' terutamanya membabitkan sistem automasi penuh dalam segmen perindustrian.

Menerusi pembentangan Bajet 2023, kerajaan menerusi Digital Nasional Berhad (DNB) akan memperluas rangkaian 5G di seluruh negara.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi yang juga Ketua Advanced Communication Research Unit (ACRU) Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Mohd Khairie Ahmad berkata, manfaat jaringan 5G ini tidak dapat disangkal lagi dan langkah kerajaan untuk memperkukuhkan infrastruktur jaringan telekomunikasi itu adalah sangat tepat dan wajar.

Menurutnya, langkah kerajaan menyediakan bajet khas dalam pembangunan 5G perlu dipuji supaya teknologi baharu ini dapat dilaksanakan secara meluas dengan cepat.

Katanya, teknologi komunikasi internet digunakan dalam pelbagai sektor serta ia memberi cerminan bahawa jaringan 5G adalah sangat penting dilaksanakan kerana ia bukan saja merangkumi pengguna sebaliknya landskap ekonomi secara menyeluruh.

"Jika menyentuh soal pembangunan landskap ekonomi yang perkasa, ia tidak hanya merangkumi keperluan jaringan pengangkutan serta akses saja, sebaliknya hari ini sudah memasuki 'jaringan raya' yang membabitkan pemerkasaan internet berkelajuan tinggi.

"Jaringan telekomunikasi ini bukan hanya menawarkan kepada keupayaan jaringan internet stabil, malah ia memberi manfaat kepada ekonomi dan itu menjadi titik tolak kebanyakan negara memberi fokus pembangunan sistem telekomunikasi berkenaan.

"Contohnya, China mengutamakan pembangunan jaringan 5G dan kini lebih 2,000 bandar mereka sudah dilengkapi dengan jaringan berkenaan sekali gus menjadi pemain ekonomi utama di dunia pada hari ini," katanya.

Mohd Khairie berkata, negara juga tidak terkecuali dalam pembangunan jaringan 5G ini apabila kerajaan sudah melaksanakan beberapa insiatif khusus bagi mempercepatkan penyediaan jaringan berkenaan.

Beliau berkata, dasar terbuka kerajaan dalam pembangunan infra dengan mengajak pemain utama syarikat telekomunikasi juga akan memberi kesan positif kepada pelaksanaan penuh 5G di negara ini.

"Pada 2024, jaringan berkenaan dijangka akan lebih meluas dengan capaian 80 peratus di seluruh negara dan ini sekali gus memberi landskap baharu kepada negara.

"Penyediaan teknologi baharu ini juga akan mendorong serta memberi keyakinan kepada pelabur asing untuk datang serta melaksanakan perniagaan di negara ini dan menyumbang kepada pendapatan negara.

"Dasar kerajaan yang begitu terbuka untuk pembaharuan teknologi ini banyak membantu kepesatan infrastruktuk jaringan 5G dan diharap pelaksanaannya dapat dipercepatkan sekali gus memacu ekonomi serta pertumbuhan negara," katanya.

Menurutnya, jika memperkatakan tentang 5G, ia tidak semata-mata tentang pengguna sebaliknya industri adalah segmen yang lebih besar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 7:00 AM